KUALA LUMPUR 10 Sept – Kestabilan makro ekonomi Malaysia, reformasi struktur yang sedang berjalan serta aliran keluar pelabur global daripada aset-aset Amerika Syarikat (AS) dijangka mampu mengukuhkan nilai Ringgit kepada 4.08 menjelang akhir tahun ini berbanding 4.47 pada akhir 2024, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan risiko fiskal di AS telah meningkatkan premium hasil bon Perbendaharaan, mendorong pelabur untuk mencari pasaran yang lebih stabil dan berstruktur seperti Malaysia.
Katanya, meskipun pemotongan kadar dasar oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Julai telah mengecilkan jurang hasil sebenar dan sedikit mengurangkan daya tarikan bon tempatan, Malaysia masih menawarkan peluang pelaburan terpilih, terutamanya disokong oleh aliran pulangan hasil korporat ke dalam negara.
Pada masa sama, deposit mata wang asing mencatatkan rekod baharu sebanyak RM292.8 bilion pada Julai, manakala program Qualified Resident Investor oleh BNM menyediakan insentif tambahan kepada syarikat untuk menukar pegangan asing mereka kepada Ringgit.
“Dalam tempoh 9 hingga 12 bulan akan datang, dolar AS dijangka melemah akibat kebimbangan fiskal dan pelonggaran dasar monetari oleh Rizab Persekutuan (Fed).
“Namun, peningkatan semula dolar AS dalam jangka pendek dijangka berlaku berikutan normalisasi kedudukan pasaran. Ini membuka ruang kemasukan ke dalam aset pasaran membangun (EM), dan Malaysia menyerlah sebagai destinasi yang dipacu reformasi,” kata firma itu.
Dari segi unjuran dasar monetari, Kenanga Research melihat permintaan domestik kekal berdaya tahan, dengan sektor perlombongan dijangka pulih dan sektor perkhidmatan berkembang secara berterusan yang dilihat mampu menyerap kelemahan luaran.
“Kestabilan ini memberi ruang kepada BNM untuk mengekalkan kadar dasar sedia ada dan mengekalkan peluru dasar untuk menghadapi kejutan masa depan,” katanya.
Namun begitu, risiko inflasi dilihat semakin meningkat selepas permulaan tahun yang agak suram.
Tambahnya, kesan lambat daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), reformasi subsidi serta kenaikan gaji minimum dijangka memberi tekanan kenaikan harga dalam bulan-bulan akan datang.
Meskipun demikian, ketiadaan permintaan berlebihan, peningkatan kapasiti penawaran, serta sokongan fiskal bersasar dijangka dapat mengekang tekanan inflasi dengan berkesan.
“Dengan pertumbuhan ekonomi kekal stabil dan inflasi terkawal, kadar dasar semasa BNM pada 2.75% dianggap masih sesuai. Tiada keperluan untuk pemotongan kadar selagi permintaan domestik kekal kukuh, meskipun BNM akan terus bergantung kepada data,” tambah laporan itu. - DagangNews.com








