RHB Research: Prestasi CPE diramal pulih mulai 2HFY26, didorong tempahan industri cip global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research: Prestasi CPE diramal pulih mulai 2HFY26, didorong tempahan industri cip global

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Mei – CPE Technology Berhad diramal kembali mencatat pemulihan prestasi mulai separuh kedua apabila pelanggan semikonduktor global dijangka mula meningkatkan tempahan.


Menurut RHB Research, situasi positif tersebut bakal mengukuhkan semula operasi kumpulan pengeluar produk teknologi tinggi itu, selepas keputusan kewangan bagi separuh pertama FY26 masih lemah.


Katanya, pelanggan sebelum ini mengambil pendekatan berhati-hati dalam pengurusan inventori dan perolehan, namun prospek jangka sederhana syarikat kekal positif disokong pertumbuhan industri.


"Permintaan global terhadap cip kecerdasan buatan (AI), pusat data (DC), high-bandwidth memory (HBM) dan pengkomputeran berprestasi tinggi kini pemacu utama sektor semikonduktor," jelasnya.


RHB Research mengunjurkan perbelanjaan peralatan semikonduktor global meningkat kira-kira 16.5% kepada RM564 bilion sepanjang tahun ini sebelum berkembang lagi kepada RM628 bilion pada 2027.


Ujarnya, peningkatan pelaburan dan permintaan terhadap peralatan semikonduktor dijangka menyokong aliran tempahan bagi rumusan kejuruteraan ketepatan dan ultra-high purity (UHP) ditawarkan CPE.


Syarikat pemesinan berketepatan itu turut menghasilkan komponen bagi sistem penghantaran gas semikonduktor berketulenan ultra tinggi (UHP), yang digunakan dalam proses pembuatan wafer cip.


"Kami mendapati kumpulan ini berada di kedudukan strategik dalam rantaian bekalan semikonduktor antarabangsa susulan hubungan kukuh dengan ramai pemain utama industri," kata RHB Research lagi.

 

CPE Technology_DagangNews


Antara pelanggan utama CPE termasuk syarikat global injap semikonduktor UHP yang menguasai 40% pasaran serta pengeluar mass flow controller (MFC) Jepun dengan pegangan pasaran global 60%.


Tambah firma penyelidikan berkenaan, segmen semikonduktor ketika ini menyumbang kira-kira 57% daripada keseluruhan pendapatan bagi tempoh enam bulan pertama FY26 syarikat tersebut sendiri.


Bagaimanapun, keputusan 2QFY26 mencerminkan cabaran semasa apabila hasil susut 24% tahun ke tahun kepada RM25.2 juta manakala margin keuntungan bersih jatuh kepada 7.2% daripada 31.5% sebelum ini.


"Prestasi lemah dicatatkan berkenaan dipengaruhi kos tinggi daripada beberapa projek pembangunan produk dan proses kelayakan teknikal yang masih belum menjana hasil secara ketara," katanya.


RHB Research namun menjangkakan margin keuntungan CPE kembali pulih apabila penggunaan kapasiti operasi meningkat susulan pengembangan kilang yang melibatkan tambahan 35 hingga 40 mesin baharu.


Sehubungan itu, firma tersebut menjangkakan pertumbuhan operasi bertambah baik dan kos kelayakan produk mula berkurangan apabila tempahan pelanggan kemungkinan meningkat mulai separuh kedua.


Selain sektor semikonduktor, CPE ujarnya, turut mempunyai pendedahan yang luas kepada segmen sains hayat, perubatan dan peralatan sukan dengan menyumbang kira-kira 33% daripada hasil kumpulan.


"Dari sudut kewangan, syarikat kekal kukuh dengan kedudukan tunai bersih RM141 juta setakat 2QFY26 yang memberi fleksibiliti untuk pengembangan kapasiti dan pembelian peralatan baharu," tambahnya.


Justeru, RHB Research menilai sahamnya pada nisbah harga pendapatan (P/E) FY27 hingga FY28 antara 23 hingga 25 kali dengan nilai saksama sekitar RM1 hingga RM1.25 sesaham. - DagangNews.com