KUALA LUMPUR 25 Feb - RHB Research menyemak turun unjuran pendapatan CTOS Digital Bhd pada FY25 sebanyak 7.2% selepas mengambil kira hasil yang lebih rendah dan andaian kos lebih tinggi.
Katanya, pengurusan kumpulan juga menurunkan sasaran dalaman pendapatan FY25 antara RM118 juta hingga RM123 juta berbanding RM125 juta hingga RM130 juta sebelum ini kesan ketidaktentuan pasaran.
Firma penyelidikan itu berkata, ia juga kesan daripada kitaran jualan yang lebih panjang untuk rumusan digital baharu dan segmen komersial CTOS, dan perbelanjaan tambahan dalam usaha pemasaran serantau dan bilangan pekerja tambahan.
"Bagaimanapun, trajektori pertumbuhan jangka sederhana kekal utuh, dengan jumlah pasaran yang boleh ditangani yang besar sebanyak RM2.7 bilion (dengan kadar penembusan sebanyak 20%)," katanya dalam atu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu susut 42.2% kepada RM32.39 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) berbanding RM56.01 juta setahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi akibat ketiadaan kredit cukai.
Pada suku dalam tinjauan, kumpulan itu merekodkan perbelanjaan cukai sebanyak RM846,000 berbanding kredit cukai sebanyak RM26.03 juta pada 4QFY23.
Kredit cukai pada 2023 adalah disebabkan oleh lebihan peruntukan cukai tahun sebelumnya selepas unit milik penuh kumpulan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CDS) memperoleh pelanjutan lima tahun lagi pengecualian cukai daripada Kementerian Kewangan, berkuat kuasa 9 November 2021 hingga 8 November 2026.
Kadar cukai efektif kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berada pada 8%, lebih rendah daripada kadar cukai berkanun sebanyak 24%.
RHB Research menyukai CTOS Digital sebagai proksi dalam trend pendigitalan sekular dan model perniagaannya yang kalis kemelesetan yang mempunyai landasan bai untuk pertumbuhan rumusan berkaitan kewangan dan kredit dalam pasaran ASEAN.
Katanya, projek masa hadapan kekal teguh merentas akaun utama dan segmen komersial, dengan pengaktifan baharu dan penggunaan berulang dijangka berkembang di tengah-tengah keperluan pendigitalan.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.49 sesaham," katanya. - DagangNews.com








