KUALA LUMPUR 30 Dis – RHB Research memulakan liputan ke atas CCK Consolidated Holdings Berhad dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) dalam tempoh 12 bulan sebanyak RM1.62 sesaham.
Firma penyelidikan itu berkata, ia mewakili potensi kenaikan 38% daripada paras semasa, disokong oleh pertumbuhan pesat operasi di Indonesia serta asas perniagaan yang berhati-hati di Sarawak.
Selain itu, syarikat tersebut dijangka berada pada titik perubahan pendapatan, dipacu perluasan kapasiti pemprosesan makanannya di Indonesia yang akan bermula pada suku pertama tahun depan.
"Ia juga mampu mengukuhkan kedudukan dominannya sebagai pengendali pasar raya makanan segar yang terbesar di Sarawak," jelas RHB Research dalam nota analisis sulungnya ke atas CCK hari ini.
Menurutnya, model runcit bersepadu secara menegak membolehkannya memanfaatkan pertumbuhan ekonomi negeri itu diunjurkan berkembang pada kadar purata 4.6% setahun dari 2026 hingga 2030.
Usaha itu seiring proses pembandaran dan peningkatan perbelanjaan pengguna, manakala di Indonesia, anak syarikat 60% milik syarikat, Adilmart, merancang untuk menambah kemudahan pemprosesan ketiga.
Langkah ini akan meningkatkan kapasiti sebanyak 3,000 hingga 4,000 tan sebulan menjelang 1Q26, dan mampu menampung permintaan tinggi serta mengembangkan pengedaran ke peringkat nasional.
"Strategi itu disokong rekod pelaksanaan kukuh, dengan kapasiti pengeluaran Indonesia sebelum ini pernah berjaya digandakan daripada 1,000 tan sebulan kepada 2,000 tan sebulan pada 2020," katanya.
Jualan di negara itu jelas RHB Research, turut meningkat daripada hanya RM116 juta pada 2020 kepada RM212.3 juta pada 2024, selain CCK mendapat manfaat susulan pertumbuhan gaji di Malaysia.
Inisiatif bantuan kerajaan seperti program MyKasih, juga menyokong perbelanjaan barangan makanan asas rakyat, sekali gus mengukuhkan jualan kedai sama (SSSG) dan aliran tunai yang lebih stabil.
Dari segi penilaian, firma itu meletakkan gandaan 13 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) ke atas hasil unjuran CCK pada FY26 bagi memperoleh nilai saksama untuk TP sebanyak RM1.62 sesaham.
"Bagaimanapun risiko utama yang dikenal pasti ialah perluasan di Indonesia yang lebih perlahan daripada jangkaan serta turun naik kadar pertukaran asing," tambah RHB Research. - DagangNews.com








