RHB Research: Kerjaya Prospek ceburi segmen baharu kurangkan kebergantungan sektor pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research: Kerjaya Prospek ceburi segmen baharu kurangkan kebergantungan sektor pembinaan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 JulaiKerjaya Prospek Group Berhad mengambil langkah strategik positif dengan menceburi segmen kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) serta tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Menurut RHB Research, tindakan itu dilihat sebagai usaha pengurangan kebergantungan kepada sektor pembinaan, dan membuka luas sumber pertumbuhan baharu kepada kumpulan dalam jangka panjang.


Firma itu berpandangan, langkah tersebut sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap rumusan tenaga lestari dan berpotensi mewujudkan sinergi perniagaan yang lebih besar lagi pada masa hadapan.


"Kami menjangka Kerjaya Prospek mampu memberi pulangan dividen 5% bagi FY27, disebabkan sektor hartanah dan pembinaan masih berdepan cabaran kelembapan pasaran serta tekanan kos," katanya.


Justeru, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) RM3.19 sesaham, sekali gus mencerminkan potensi kenaikan sekitar 33% daripada harga semasa.


Kumpulan itu melanggan 70 juta saham baharu ES Sunlogy Berhad pada harga terbitan 26.8 sen sesaham menerusi pelaksanaan penempatan persendirian, membabitkan nilai pelaburan keseluruhan RM18.8 juta.


Kerjaya Prospek_DagangNews2026


Pelaburan itu memberikan Kerjaya Prospek pegangan sebanyak 9.09% serta menjadikan kumpulan tersebut sebagai pemegang saham utama dalam syarikat penyedia perkhidmatan M&E dan RE berkenaan.

 

"Transaksi ini bukan sesuatu yang mengejutkan kami sendiri memandangkan kumpulan ini mempunyai kedudukan tunai bersih kukuh sebanyak RM352 juta setakat akhir Mac 2026 lalu," jelas RHB Research.

 

Usaha itu memberi peluang pertumbuhan perniagaan kejuruteraan khusus dan RE, serta mempelbagaikan sumber pendapatan di luar aktiviti pembinaan tradisional yang menjadi teras kumpulan selama ini.

 

Malah, Kerjaya Prospek ada hubungan perniagaan dengan ES Sunlogy dalam pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem elektrik bagi sebuah projek pembangunan bertingkat tinggi.

 

Dari sudut kewangan, RHB Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran hasil kerana pegangan itu belum memenuhi syarat pengiktirafan sumbangan keuntungan mengikut kaedah ekuiti.

 

"Kami melihat pemangkin terbesar kepada Kerjaya Prospek ialah jika berjaya meraih projek berskala besar namun kelembapan pasaran hartanah dan tekanan kos pembinaan kekal risiko," katanya. - DagangNews.com