KUALA LUMPUR 31 Jan - Revenue Group Bhd menjangkakan tahun kewangan semasa yang berakhir pada 30 September 2025 (FY25) akan menghadapi pelbagai cabaran, namun kumpulan kekal optimis terhadap prospek syarikat.
Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, pertumbuhan dalam ekonomi digital dan kemajuan digital yang berterusan dijangka akan menyumbang kepada pertumbuhan yang stabil bagi ekonomi kumpulan pada 2025.
"Lembaga pengarah akan mengambil langkah berjaga-jaga dan akan terus mengurus serta membimbing perniagaan kumpulan kami dengan teliti, mengambil kira kesan yang berpotensi daripada semua faktor global yang boleh mempengaruhi persekitaran perniagaan," katanya dalam laporan tahunan syarikat.
Revenue Group terlibat dalam industri pembayaran elektronik dan penyediaan perkhidmatan runcit internet pihak ketiga.
Kamari Zaman berkata, impak daripada ekonomi global, ketegangan geo-politik dan kesan daripada pandemik Covid-19 telah dan terus memberi kesan kepada aktiviti ekonomi di peringkat global dan tempatan.
"Bagaimanapun, kami telah melihat petanda pemulihan yang menggalakkan apabila Malaysia terus pulih daripada kesan pandemik sambil mengharungi cabaran ekonomi global dan tempatan," ujarnya.
Untuk tahun kewangan FY24, Revenue Group mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM12.73 juta dengan hasil sebanyak RM388.73 juta. - DagangNews.com








