KUALA LUMPUR 20 Jan – Reservoir Link Energy Bhd (RLEB) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Reservoir Link Sdn Bhd (RLSB) telah menerima Arahan Kerja daripada Roc Oil (Sarawak) Sdn Bhd bagi penyediaan perkhidmatan penggerudian untuk projek D35, D21 dan J4 bagi tempoh 2025 hingga 2029.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, RLEB memberitahu Arahan Kerja tersebut diterima pada 11 Disember 2025 dan dikeluarkan susulan pelantikan RLSB sebagai kontraktor panel bagi Penyediaan Perkhidmatan Kesinambungan Telaga Bersepadu untuk kerja intervensi, baik pulih dan penamatan oleh Roc Oil pada 12 Februari 2025.
"Arahan Kerja itu berkuat kuasa bermula 11 Disember 2025 dan akan kekal sah selama empat tahun sehingga 10 Disember 2029, tertakluk kepada terma-terma yang dipersetujui dalam kontrak.
"Skop kerja merangkumi penyediaan perkhidmatan perforasi serta perkhidmatan berkaitan lain seperti yang diperlukan oleh Roc Oil dari semasa ke semasa," kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Bagaimanapun, nilai kontrak keseluruhan tidak ditetapkan dan akan ditentukan berdasarkan kerja sebenar yang dilaksanakan sepanjang tempoh kontrak.
Perforasi dalam industri minyak dan gas merupakan proses kritikal untuk menghasilkan lubang melalui sarung keluli telaga, simen dan formasi batuan di sekelilingnya bagi menghubungkan lubang telaga dengan takungan hidrokarbon.
Proses ini membolehkan minyak dan gas mengalir masuk ke dalam telaga untuk tujuan pengeluaran, lazimnya menggunakan bahan letupan berbentuk khas yang dilepaskan daripada peralatan tembakan di dalam telaga (downhole guns).
RLEB memberitahu dari segi kesan kewangan, Arahan Kerja ini tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat, serta tiada kesan serta-merta ke atas aset bersih sesaham dan tahap gearan.
Namun, kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan sepanjang tempoh Arahan Kerja.
Syarikat turut memaklumkan bahawa risiko berkaitan Arahan Kerja termasuk risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir, bahan, perubahan kos serta faktor politik, ekonomi dan peraturan.
Bagaimanapun, kumpulan yakin keupayaan dan rekod prestasi sedia ada akan membolehkannya mengurus serta mengurangkan risiko berkenaan. - DagangNews.com








