KUALA LUMPUR 5 Mac - Penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang berpusat di Sarawak, Reach Ten Holdings Bhd menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Tawaran Awam Permulaan (IPO) itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 200 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 100 juta saham sedia ada, yang masing-masing mewakili 20 peratus dan 10 peratus daripada modal saham yang diperbesar Reach Ten.
Reach Ten berkata, M&A Securities akan menjamin 75 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang ramai di Malaysia di bawah perjanjian berkenaan.
Baki 125 juta saham terbitan akan ditempatkan untuk pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).
Pengarah Urusan Reach Ten, Leo Chin berkata, IPO itu dibuat pada masa yang tepat kerana ia membolehkan syarikat mengumpul dana untuk mengembangkan kemudahan telekomunikasi di Sarawak dan menyokong usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan liputan internet, terutamanya sambungan 4G dan 5G di kawasan luar bandar.
"Sejak kebelakangan ini, kami banyak menyiapkan projek kerajaan untuk meningkatkan ketersambungan di seluruh Sarawak, baik di kawasan bandar dan luar bandar," katanya dalam satu kenyataan.
Reach Ten dijangka membuat penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Securities pada Mei 2025. - DagangNews.com








