KUALA LUMPUR 20 Feb - Pereka fesyen Datuk Jovian Mandagie gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkannya bankrap susulan kegagalan melunaskan pinjaman persahabatan berjumlah RM5 juta daripada sebuah syarikat.
Hakim Jamhirah Ali menolak rayuan Jovian selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dalam prosiding dalam kamar di sini pada Jumaat.
Hakim turut menolak permohonan Jovian untuk menangguhkan keputusan tersebut dan memerintahkan beliau membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Cekap Air Sdn Bhd selaku pemiutang penghakiman.
Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizah yang mewakili syarikat itu mengesahkan perkara berkenaan ketika ditemui media di luar mahkamah.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Jovian muflis selepas beliau gagal menyelesaikan pinjaman tersebut semasa pendengaran petisyen pemiutang. Petisyen itu difailkan pada 20 November 2024.
Menurut dokumen yang diperoleh media, Cekap Air Sdn Bhd memohon notis kebankrapan dikeluarkan terhadap Jovian, 40, selepas beliau gagal membayar RM5,284,340.66 termasuk faedah kepada syarikat pembinaan itu.
Pada 2 April 2024, Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin memberikan penghakiman terus terhadap Jovian dan memerintahkan beliau membayar pinjaman tersebut.
Penghakiman terus itu diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes berkenaan melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh.
Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat berkenaan menyatakan ia telah memberikan pinjaman RM5 juta kepada Jovian pada 25 Februari 2022.
Pinjaman itu diberikan secara lisan serta kasual kerana plaintif dan defendan ialah kenalan dan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana beliau memiliki beberapa perniagaan lain. Pinjaman tersebut sepatutnya dibayar balik dalam tempoh 12 bulan.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa defendan telah memungkiri perjanjian pinjaman terbabit dan hingga kini gagal membayar semula atau memulangkan kembali wang berkenaan menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian. Jovian telah memfailkan pernyataan pembelaan pada 20 Jun 2023. - DagangNews.com








