Rasionalisasi subsidi RON95 mengikut model diesel dengan sistem kelayakan berasaskan Mykad | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rasionalisasi subsidi RON95 mengikut model diesel dengan sistem kelayakan berasaskan Mykad

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Julai — Kerajaan akan menerima pakai pendekatan dipacu teknologi untuk subsidi petrol RON95, dengan semakan kelayakan berasaskan kad pengenalan atau Mykad di stesen minyak.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme tersebut, mengikut model yang pernah digunakan kerajaan sendiri dalam pembaharuan sistem subsidi bahan api diesel baru-baru ini.


Katanya, kaedah itu kini dalam pembangunan, direka untuk memastikan subsidi hanya sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan sambil mengekang ketirisan dan penyalahgunaan kewangan awam.


Bercakap pada persidangan Invest ASEAN-Malaysia 2025, beliau berkata strategi kerajaan yang lebih luas untuk rasionalisasi subsidi petrol mengimbangi disiplin fiskal dengan perlindungan sosial.


"Dengan menggunakan pendekatan diesel sebagai contoh, objektif utama kita adalah untuk memastikan mereka yang memerlukan sokongan subsidi akan dilindungi dengan secukupnya," kata Amir Hamzah.


Beliau memberikan contoh, kerajaan mungkin menyediakan pemindahan tunai terus sebanyak RM200 sebulan kepada individu layak memenuhi kriteria pendapatan dan tidak memiliki kenderaan mahal.


Tambahnya, berdasarkan langkah pembaharuan subsidi diesel sebelum ini, yang mengutamakan ke atas individu berpendapatan rendah dan sektor industri utama, usaha itu sudah mula menunjukkan hasil.


Setakat 10 Jun 2025, bekalan diesel susut daripada 287,000 tan kepada 285,000 tan, yang dianggap beliau berjaya mengekang akses tidak wajar kepada penyalahgunaan bahan api bersubsidi komersial.


Amir Hamzah berkata, model serupa akan menyokong rasionalisasi RON95 yang dijangka pada separuh kedua 2025, dengan perlindungan bagi memastikan pengedaran lebih lancar dan gangguan minimum.


Beliau merujuk kepada program Sumbangan Asas Rahmah dikelolakan kerajaan, yang menyokong 5.4 juta penerima miskin, sebagai contoh kejayaan bantuan disasarkan dan boleh menjadi titik rujukan am.


"Falsafahnya mudah, jika anda tidak layak, anda harus membayar harga penuh. Perniagaan atau individu seperti warga asing tidak wajar meraih manfaat subsidi untuk golongan kurang berkemampuan," katanya.


Selain itu tambahnya, kerajaan mengambil berat potensi inflasi akibat perubahan subsidi tersebut serta berusaha mengurangkan kesan buruk dengan menyokong pengendali logistik dan segmen terjejas.


Akhirnya, Amir Hamzah berkata, pembaharuan tersebut direka untuk meningkatkan tahap kecekapan, mengurangkan pembaziran dan memastikan keadilan dalam sistem subsidi kepada yang memang layak.


"Kita mahu mekanisme saksama," katanya sambil menambah bahawa masa depan rangka kerja subsidi Malaysia bergantung sistem yang kukuh, pengesahan dipacu data dan kepercayaan awam. - DagangNews.com