KUALA LUMPUR 15 Julai – Rapid Bus Sdn Bhd melantik Syahrul Azmir Ahmad Zaki sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuat kuasa 15 Julai 2026 bagi menerajui usaha memperkukuh sistem perkhidmatan bas awam negara yang semakin berdepan peningkatan permintaan mobiliti.
Syarikat itu berkata pelantikan tersebut bertepatan dengan hala tuju Rapid Bus untuk mempercepatkan transformasi operasi, meningkatkan kecekapan perkhidmatan, pengalaman penumpang serta penggunaan teknologi yang lebih meluas dalam operasi harian.
Pengerusi Rapid Bus, Datuk Seri Mustafar Ali berkata Syahrul memiliki pengalaman luas dalam mengendalikan operasi berskala besar serta memacu transformasi organisasi yang diyakini mampu membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi.
Menurut beliau, pengalaman tersebut akan memperkukuh usaha Rapid Bus dalam meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan, memperbaiki pengalaman pelanggan serta mempercepat agenda pendigitalan (digitalisasi) dan kelestarian syarikat.
"Kami yakin beliau mampu memimpin Rapid Bus mencapai tahap lebih cemerlang dalam memenuhi keperluan pengguna, selain menyokong aspirasi negara untuk memperkasakan sistem pengangkutan awam," katanya dalam satu kenyataan.
Syahrul membawa bersama lebih 27 tahun pengalaman dalam sektor logistik, rantaian bekalan dan pengangkutan menerusi pelbagai jawatan kepimpinan yang pernah disandang di Aramex Malaysia, RUAG Aviation Malaysia, Kerry Logistics, OBYU Holding dan Kontena Nasional Berhad.
Sepanjang kerjayanya, beliau berpengalaman mengurus operasi berskala besar, penyelenggaraan aset, strategi korporat serta transformasi organisasi dengan rekod yang kukuh dalam meningkatkan kecekapan operasi dan prestasi perniagaan.
Di bawah kepimpinan baharunya, Rapid Bus akan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkat prestasi operasi, memperkukuh pengalaman pelanggan serta membangunkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif dan boleh dipercayai.
Selain itu, syarikat akan mempercepatkan penggunaan bas elektrik, memperluaskan inisiatif transformasi digital serta mengukuhkan pelbagai inisiatif yang akan memudahkan orang ramai mengakses pengangkutan awam.
Pelantikan Syahrul dijangka menjadi pemangkin kepada usaha Rapid Bus memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan bas awam utama negara, selaras dengan aspirasi mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih moden, mampan dan berorientasikan keperluan pengguna. - DagangNews.com








