KUALA LUMPUR 6 Feb - Rangkaian kedai serbaneka Korea, emart24, yang telah memperoleh sijil halal untuk e-kafenya daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), merancang untuk mendapatkan sijil halal bagi lima cawangannya setiap bulan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holdings Sdn Bhd, Vuitton Pang berkata, langkah itu susulan proses dalaman dan prosedur operasi standard syarikat yang telah dipertingkatkan.
"Dengan pertambahan lima cawangan memperoleh sijil halal setiap bulan, kami mensasarkan untuk mendapatkan sijil halal untuk semua 80 cawangan pada tahun depan," katanya dalam satu kenyataan.
Pang semalam menerima sijil halal bagi dua cawangan emart24 di Southville dan Vista Alam, Shah Alam.
Sijil halal itu diserahkan oleh Ketua Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA), Mohd Rizal Ismail, mewakili JAKIM.
Pang dalam pada itu berkata, mendapatkan sijil halal adalah langkah penting dalam komitmen syarikat untuk menawarkan makanan jalanan Korea yang berkualiti tinggi dan mesra Muslim.
"emart24 memberi keutamaan untuk mendapatkan sijil halal bagi semua cawangan yang sedia ada," jelasnya.
Dengan lebih 80 cawangan di seluruh negara dan lebih 800,000 transaksi bulanan, emart24 semakin popular dengan pilihan snek, minuman dan hidangan siap makan yang diinspirasikan dari Korea.
Inisiatif sijil halal berkenaan mengukuhkan lagi kehadiran pasaran mereka, menarik lebih ramai pelanggan dengan mematuhi piawaian diet halal.
Dimiliki oleh Shinsegae Group, peruncit terbesar di Korea Selatan, emart24 merupakan jenama kedai serbaneka yang berkembang paling pesat di Korea Selatan, dengan lebih 7,000 cawangan dalam pelbagai format dan saiz kedai.
Malaysia menjadi pasaran luar negara pertama mereka pada tahun 2021. - DagangNews.com







