KUALA LUMPUR 15 Julai – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperkukuh ekosistem komunikasi dan multimedia negara bagi menghadapi perkembangan pesat teknologi, tanpa mengenakan sebarang caj tambahan kepada pengguna.
Pindaan itu antara lain memasukkan elemen keselamatan negara ke dalam inisiatif baharu Penyediaan Perkhidmatan Sejagat Kebangsaan (National Universal Service Provision - USP).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerangka perundangan komunikasi dan multimedia negara kekal relevan dalam menangani kemajuan teknologi, perubahan geopolitik serta peningkatan kebergantungan negara terhadap infrastruktur digital kritikal.
"Pindaan ini bukan bertujuan memperluaskan skop Akta 588 ke dalam bidang kuasa agensi lain.
"Sebaliknya, ia terhad kepada kerangka komunikasi dan multimedia, khususnya inisiatif USP yang melibatkan penggunaan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi melalui pemasangan kemudahan rangkaian serta penyediaan perkhidmatan berkaitan," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.
Rang undang-undang tersebut diluluskan menerusi undian majoriti selepas dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen.
Teo berkata, pengguna di kawasan yang masih mempunyai liputan atau perkhidmatan komunikasi terhad turut akan mendapat manfaat daripada inisiatif USP Kebangsaan yang direka untuk meningkatkan aspek keselamatan, daya tahan, kebolehpercayaan dan kesinambungan perkhidmatan komunikasi negara.
Dana USP tidak bebankan pengguna
Menjawab kebimbangan bahawa kos pelaksanaan inisiatif USP mungkin dipindahkan kepada pengguna, beliau menjelaskan Dana USP dibiayai menerusi sumbangan pemegang lesen di bawah Akta 588 dan hanya boleh digunakan bagi menyediakan kemudahan rangkaian serta perkhidmatan berkaitan.
Semasa perbahasan, Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) berkata, pindaan itu perlu memberi keutamaan kepada usaha memperluaskan liputan komunikasi di kawasan luar bandar, pedalaman, pesisir pantai dan pulau-pulau di Sabah, di samping memperkukuh aspek keselamatan negara.
Menurut beliau, tiada kawasan sepatutnya terus terputus daripada akses komunikasi, terutama ketika berlakunya kecemasan atau bencana kerana rangkaian komunikasi yang stabil amat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera.
Sementara itu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) menggesa Kementerian Komunikasi mendedahkan baki semasa Kumpulan Wang USP serta perancangan penggunaan dana berkenaan bagi memastikan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur komunikasi luar bandar tidak terjejas susulan pindaan tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) mencadangkan supaya pelbagai bentuk manipulasi digital diwartakan dari semasa ke semasa bagi membolehkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya untuk melindungi maklumat peribadi serta urusan kewangan mereka.
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kepakaran dalaman dalam bidang keselamatan siber. - BERNAMA








