KUALA LUMPUR 24 Jan - Rancangan kerajaan untuk menyasarkan semula subsidi petrol RON95 dipercayai memberi kesan terkawal terhadap inflasi, kata Ketua Ekonomi AmBank (M) Bhd Firdaos Rosli.
Beliau berkata, tahun lepas semasa penyasaran semula subsidi diesel, bank itu pada mulanya menjangkakan inflasi meningkat ke paras yang berlaku pada pertengahan 2010 apabila kerajaan membuat penyasaran semula subsidi diesel dan petrol.
"Bagaimanapun, ini tidak berlaku. Apa yang mengejutkan ialah inflasi kekal terkawal walaupun kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel.
"Kami percaya penyasaran semula subsidi petrol RON95 berkemungkinan mengikut corak yang sama.
"Jika kerajaan meneruskan dengan rancangan penyasaran semula subsidi petrol RON95, kesan terhadap inflasi dijangka kekal terkawal," katanya semasa taklimat prospek makroekonomi AmBank hari ini.
Firdaos berkata, terdapat beberapa faktor menyokong prospek itu, dengan yang pertama ialah trend penurunan harga minyak global.
"Kedua, kami perhatikan, mekanisme mengenai idea untuk menetapkan penyasaran semula subsidi hari ini dan sebelum ini juga berbeza," katanya.
Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan menyasarkan untuk merasionalisasikan subsidi dengan menyelaraskannya lebih rapat dengan kadar pasaran.
"Sekarang, saya fikir ideanya adalah untuk melakukan perkara yang sama tanpa memberi kesan besar terhadap inflasi dan itulah perbezaannya.
"Perubahan dalam strategi ini menjelaskan mengapa inflasi tidak meningkat tahun lepas, dan kami menjangkakan hasil yang sama untuk RON95 di bawah pendekatan semasa," katanya.
Beliau berkata, inflasi dijangka kekal terkawal dalam tempoh terdekat di tengah-tengah kemerosotan kos pengeluaran, seperti yang dicerminkan oleh deflasi pengeluar tiga bulan berturut-turut sejak September 2024.
Bagaimanapun, tekanan inflasi berkemungkinan meningkat secara beransur-ansur pada 2025 apabila kesan asas yang tinggi semakin hilang dan faktor tolakan kos semakin meningkat.
"Risiko peningkatan utama termasuk jangkaan pelaksanaan penyasaran semula subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 dan potensi kenaikan tarif elektrik bermula Julai 2025, dengan RON95 dan elektrik menyumbang 5.5% dan 2.7% daripada wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP)," katanya
Beliau berkata, impak itu dijangka terkawal kerana kerajaan memberi jaminan penyasaran semula subsidi hanya akan memberi kesan kepada kumpulan pendapatan 15% teratas.
"Kami mengunjurkan inflasi kepada purata antara 2.5% hingga 3% pada 2025, sejajar dengan julat unjuran rasmi 2% hingga 3.5%," katanya. - DagangNews.com








