KUALA LUMPUR 31 Julai — Rancangan Eco-Shop Marketing Berhad membuka 70 kedai baharu setiap tahun berpotensi meningkatkan hasil 12% hingga 21% setahun, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut turut yakin dengan keupayaan kumpulan itu mampu mencapai pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) sebanyak 2% hingga 3% dari tahun kewangan 2026 (FY26) hingga FY28.
Ia turut menganggarkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) keuntungan bersih selama tiga tahun (FY25 hingga FY28) sebanyak 20% yang berdasarkan pada CAGR hasil tempoh tiga tahun sebanyak 17%.
"Kami jangka ada peningkatan dalam margin keuntungan sebelum cukai kepada 11% hingga 12% pada FY26 hingga FY28, pada margin keuntungan kasar lebih kukuh kira-kira 31%," katanya dalam nota kajian.
Maybank IB menambah, anggaran pendapatan tersebut turut mengambil kira unjuran sejumlah 70 kedai baharu yang dibuka setahun dan mengandaikan SSSG secara positif direkodkan dari FY26 hingga FY28.
Katanya, ramalan firma berkenaan juga menilai peningkatan volum jualan secara berperingkat daripada pengumuman rangsangan kerajaan bagi membantu pengguna berpendapatan rendah dapat berbelanja.
Selain itu tambahnya, pendapatan boleh guna pengguna yang kukuh juga akan memacu pertumbuhan jualan runcit keseluruhan di negara ini dengan Eco-Shop mendapat manfaat daripada trend penurunan dagangan.
Situasi berkenaan kata Maybank IB menyaksikan pelanggan terutama golongan berpendapatan rendah yang cenderung kepada item dengan harga lebih murah dan mudah diperoleh menerusi rangkaian kedai itu.
Bagaimanapun pada sisi negatif, ia mencatatkan gangguan bekalan dan turun naik mata wang berikutan kumpulan itu mengimport kira-kira 69% daripada penyimpanan bekalannya dari China dan negara lain.
"Berdasarkan perkembangan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM1.45 sesaham setelah menilai Eco-Shop merupakan rangkaian kedai terbesar di Malaysia," katanya.
Setakat ini, kumpulan itu dianggarkan menguasai 68% bahagian pasaran hasil pada akhir Februari 2025 dengan sudah mempunyai sejumlah 371 kedai di seluruh negara, termasuk 22 kedai format Eco-Plus.
Kumpulan itu juga memiliki sebanyak 29 jenama rumah yang membentuk purata 10,000 item produk berbeza, kebanyakannya diperoleh daripada pembekal akhir di China. - DagangNews.com








