Ramalan nilai ringgit lebih kukuh diyakini tingkatkan hasil Press Metal - Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ramalan nilai ringgit lebih kukuh diyakini tingkatkan hasil Press Metal - Affin Hwang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Julai — Press Metal Aluminium Holdings Berhad dijangka mencatatkan hasil lebih tinggi pada tahun berikutnya dipacu ramalan nilai ringgit semakin kukuh, kata Affin Hwang Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, ia optimistik mengenai prospek syarikat tersebut seiring dengan harga aluminium yang menggalakkan ditambah pula keadaan harga alumina yang semakin berkurangan.

 

Situasi berkenaan tambahnya, berlaku apabila bekalan bahan itu di pasaran global menyaksikan lambakan dan dibantu pengukuhan kadar nilai ringgit berbanding mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

 

"Kami menjangkakan harga anod karbon meningkat 13% suku ke suku (QoQ), ketika harga kok petroleum lebih tinggi di China, diperoleh sepenuhnya tanpa dilindung nilai," kata Affin Hwang dalam notanya.

 

Ia turut memperhalusi unjuran pendapatan sesaham (EPS) dari tempoh 2025 hingga 2027 untuk Press Metal setelah mengambil kira kedudukan harga aluminium yang didapati lebih baik pada ketika ini.

 

Justeru firma tersebut meramalkan keputusan kewangan kumpulan tersebut bagi suku kedua tahun ini akan berada dalam lingkungan RM350 juta hingga RM450 juta, disebabkan isu kos tinggi bahan mentah.

 

Bagaimanapun Affin Hwang menjangkakan separuh kedua tahun ini menjadi lebih kukuh apabila kos input berkurangan daripada asas cukup tinggi, ditambah dengan harga aluminium yang berdaya tahan.

 

Berdasarkan situasi semasa itu, firma tersebut menaikkan harga sasaran untuk Press Metal kepada RM5.90 daripada RM5.60 sesaham, sambil masih mengekalkan saranan 'beli'. - DagangNews.com