KUALA LUMPUR 8 Julai — Rakyat berhak mengetahui kenapa Malaysia sahaja dikenakan kadar tarif baharu Amerika Syarikat (AS) lebih tinggi berbanding sebelum ini, kata seorang wakil rakyat pembangkang.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara yang dikenakan semua kadar tarif timbal balik tinggi daripada kadar asal.
Perkara ini tambahnya, menimbulkan banyak tanda tanya padahal para pemimpin kerajaan sebelum itu memberi gambaran seolah-olah rundingan dengan AS berjalan dengan amat baik dan begitu positif.
Justeru kata beliau, rakyat Malaysia berhak tahu apakah yang berlaku sehingga mengakibatkan Malaysia dikenakan kadar 25 peratus untuk tarif disemak semula itu dan akan dilaksanakan pada 1 Ogos 2025.
"Namun realitinya, hasil yang diumumkan langsung tidak mencerminkan gambaran yang diberi. Rakyat berhak mendapatkan penjelasan segera dan terperinci," katanya dalam hantaran menerusi Facebooknya.
Justeru, bekas Menteri Pendidikan itu, meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab persoalan itu kerana menunjukkan peningkatan satu peratus berbanding diumumkan pada 2 April 2025.
Radzi turut mengemukakan beberapa persoalan dan menyifatkan keadaan yang berlaku sekarang ke atas eksport Malaysia ke pasaran AS ibarat pepatah 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.
Antaranya apakah kadar sebanyak 25 peratus ini ditetapkan selepas Malaysia bersetuju melonggarkan dasar negara sebagai konsesi rundingan dengan AS dan jika ya, apakah yang ditawarkan kerajaan itu.
"Adakah kerajaan meneruskan rundingan sebelum tarif baharu mula dilaksanakan 1 Ogos 2025? Jika ya, adakah kerajaan akan melonggarkan lagi dasar-dasar negara sedia ada dalam rundingan?" soal beliau.
Pada masa sama, Radzi berkata, pembangkang berhasrat membahaskan isu tarif itu ini di Parlimen dengan segera tetapi kecewa persidangan yang asalnya dijadualkan pada 23 Jun 2025 telah ditunda.
Berikut ialah petikan daripada hantaran beliau:
PENGUMUMAN KADAR BAHARU TARIF AMERIKA SYARIKAT TERHADAP MALAYSIA
Hari ini, Presiden Amerika Syarikat telah mengumumkan kadar baharu tarif yang akan dikenakan terhadap Malaysia adalah 25%. Kadar ini merupakan peningkatan sebanyak 1% berbanding kadar asal yang diumumkan pada 2 April 2025.
Jika dibandingkan kadar tarif yang telah diumumkan untuk negara-negara ASEAN yang lain, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang dikenakan kadar tarif lebih tinggi daripada kadar asal. Sebagai perbandingan, kadar baharu tarif untuk Vietnam, Kemboja, Laos, dan Myanmar masing-masing telah dikurangkan sebanyak 26%, 13%, 8% dan 4% daripada kadar asal yang diumumkan sebelum ini.
Perkara ini menimbulkan banyak tanda tanya. Para pemimpin Kerajaan sebelum ini memberi gambaran seolah-olah rundingan berjalan dengan amat baik dan positif. Namun realitinya, hasil rundingan yang telah diumumkan langsung tidak mencerminkan gambaran yang diberi kerajaan.
Rakyat berhak mendapatkan penjelasan segera dan terperinci daripada Perdana Menteri serta Menteri Pelaburan, Perdangangan dan Industri (MITI) berhubung isu kritikal ini. Justeru, saya mohon Kerajaan memberi penjelasan kepada persoalan-persoalan berikut:
1. Apakah kadar tarif sebanyak 25% ini ditetapkan selepas Kerajaan Malaysia bersetuju untuk melonggarkan dasar-dasar negara sebagai konsesi rundingan dengan Amerika Syarikat? Jika ya, apakah dasar-dasar negara yang telah dilonggarkan tersebut?
2. Adakah Kerajaan akan meneruskan rundingan sehingga tarikh 1 Ogos 2025, sebelum kadar tarif baharu ini mula dilaksanakan? Jika ya, adakah Kerajaan akan melonggarkan lagi dasar-dasar negara yang sedia ada dalam rundingan susulan? Apakah dasar-dasar yang bakal dijadikan konsesi rundingan tersebut?
3. Apakah bentuk bantuan strategik dan insentif yang akan disediakan oleh kerajaan untuk menyokong sektor-sektor ekonomi yang terkesan, terutamanya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta peniaga yang menjalankan aktiviti eksport secara langsung ke pasaran Amerika Syarikat?
Kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berselindung lagi. Penjelasan yang telus dan menyeluruh amat penting mengambil kira implikasi tarif timbal balik ini kepada ekonomi negara, kehidupan rakyat, serta masa depan perdagangan antarabangsa Malaysia. Lebih malang lagi jika Kerajaan telahpun mengorbankan prinsip dan dasar negara sebagai konsesi rundingan, namun akhirnya kita tetap menerima kadar tarif yang lebih tinggi.
Keadaan ini adalah ibarat pepatah, "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran."
Kami mahu membahaskan isu ini dan isu-isu rakyat yang lain di Parlimen dengan segera. Namun, sidang Parlimen yang asalnya dijadualkan pada 23 Jun 2025 telah ditangguhkan ke 21 Julai 2025. - DagangNews.com








