KUALA LUMPUR 9 Feb — Rahim & Co International Property Consultants Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan firma perunding hartanah global yang berpangkalan di United Kingdom, Chestertons Global.
Langkah strategik itu bagi memperluaskan capaian antarabangsa serta mengukuhkan keupayaan khidmat nasihat rentas sempadan yang akan beroperasi di bawah jenama dikenali Rahim & Co Chestertons.
Pemeteraian kerjasama itu jelasnya, menggabungkan kepakaran pasaran tempatan Rahim & Co dengan rangkaian global, keupayaan penyelidikan dan pangkalan pelanggan antarabangsa di Bawah Chestertons.
Pengerusi Eksekutif Rahim & Co Chestertons, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, gabungan itu melangkaui sekadar penggabungan jenama, sebaliknya merupakan penyatuan visi, nilai dan kepakaran.
“Kerjasama ini membolehkan kami dapat menggabungkan pandangan tempatan dengan strategi global, untuk membina platform khidmat nasihat yang lebih kukuh," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Usaha terbaharu berkenaan jelasnya, turut selari dengan keperluan pelanggan yang semakin menuntut rumusan lebih canggih, berteraskan teknologi semasa dan kelestarian di peringkat antarabangsa.
Rahim & Co diasaskan sejak 1976, mengendalikan 23 pejabat di Malaysia dengan hampir 600 petugas, manakala Chestertons yang ditubuhkan di London pada 1805 memiliki kehadiran di lebih 20 negara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Chestertons Global, Mohamed Mussa dalam kenyataan yang sama berkata, keserasian nilai dan kekuatan pasukan dengan firma tempatan menjadi faktor bagi kerjasama tersebut.
"Selain itu, prospek Malaysia yang semakin menarik kepada pelabur antarabangsa, dengan pelaburan berterusan kerajaan dalam infrastruktur, tahap kemampuan harga hartanah juga positif," katanya.
Beliau turut merujuk pembangunan zon ekonomi khas menjadikan Malaysia pada fasa pertumbuhan baik, disokong momentum pertumbuhan Asia yang kukuh berbanding pasaran Barat. - DagangNews.com








