KUALA LUMPUR 14 Ogos - Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata isterinya menerima mesej ugutan sehari selepas anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun ditikam dengan picagari di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Rafizi yang kelihatan letih berkata, dua mesej yang dihantar pada pukul 1.12 pagi dan 11.02 pagi itu seolah-olah mengugut untuk menjangkiti anaknya dengan virus HIV, yang membawa kepada jangkitan AIDS, sekiranya mereka tidak berdiam diri.
“Mesej itu berbunyi: ‘Diam! Andai teruskan, AIDS!’. Mesej tersebut disertakan dengan tiga emoji picagari,” kata Rafizi pada sidang media di Parlimen bersama beberapa ahli Parlimen lain di sisinya.

Beliau berkata, pihak polis telah dimaklumkan mengenai mesej itu, dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Rafizi percaya ugutan tersebut ada kaitan dengan pertemuannya bersama pemberi maklumat berhubung satu skandal pada 6 Ogos lalu.
“Saya rasa pihak di belakang skandal itu tahu bahawa apabila saya menyiasat, saya akan terus mengorek, dan orang yang mempunyai maklumat akan terus tampil ke hadapan.
"Jadi, pada pandangan saya, ini adalah cara mereka memaksa saya berhenti dan melupakan perkara ini,” tambahnya.
Rafizi yang menjadi emosi ketika bercakap mengenai kesusahan keluarganya pada masa lalu, khususnya ketika beliau dipenjarakan, berkata terdapat tiga kemungkinan terhadap suntikan yang diterima anaknya: ia mungkin dadah atau racun, virus seperti HIV, atau hanya air atau cecair garam (saline).
“Beliau telah menjalani pemeriksaan awal dan ujian darah, dan setakat ini pemerhatian menunjukkan keadaan baik. Sebagai seorang bapa, saya lega kerana dadah atau racun boleh diketepikan,” kata Rafizi.
Anaknya yang berusia 12 tahun itu perlu menjalani beberapa siri ujian darah dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi menentukan sama ada terdapat virus yang disuntik.
“Anak saya masih perlu menjalani ujian darah berulang untuk memeriksa jika ada virus yang dipindahkan. Kami hanya boleh pasti selepas enam bulan, dan sementara itu, kami akan terus memantau keadaannya,” katanya lagi.
Rafizi percaya mesej kepada isterinya itu bertujuan memberi tekanan kepadanya, namun beliau berkata keluarganya telah membuat keputusan untuk tidak berundur.
“Hidup mesti diteruskan… yang kena pergi sekolah, pergi sekolah; yang kena jaga kucing, jaga kucing… saya jalankan tugas,” katanya.
Pada 13 Ogos, anak Rafizi ditikam dengan picagari di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya sekitar jam 1.45 petang, dalam insiden yang dipercayainya adalah serangan yang dirancang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap insiden itu dan mengarahkan siasatan dijalankan dengan teliti dan tanpa berlengah. - DagangNews.com








