Rafizi masuk pejabat buat kali terakhir, kekal keputusan lepaskan jawatan menteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rafizi masuk pejabat buat kali terakhir, kekal keputusan lepaskan jawatan menteri

Gambar: FB Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR 13 Jun - Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat memberi bayangan kekal dengan keputusannya untuk melepaskan jawatan menteri Kabinet selepas masuk ke pejabat buat kali terakhir, hari ini. 

 

Ahli Parlimen Pandan itu, melalui satu hantaran di X berkata, beliau berada di pejabat untuk menyelesaikan beberapa perkara, termasuk ‘mengemas pejabatnya’.

 

"Saya masuk ke pejabat pejabat buat kali terakhir semalam untuk menguruskan beberapa isu tertunggak serta mengemas," katanya.

 

 

 

 

 

Terdahulu, Rafizi telah mengemukakan surat peletakan jawatannya sejurus selepas kekalahannya dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR bulan lalu.

 

Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, kemudiannya turut mengambil langkah yang sama.

 

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berharap kedua-dua mereka akan mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

 

Setakat ini beliau hanya meluluskan cuti mereka dan secara peribadi lebih suka sekiranya mereka kembali menyertai Kabinet.

 

Sementara itu, dalam hantaran yang sama, Rafizi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan pegawainya, yang menurutnya merupakan penggerak utama di sebalik pelbagai inisiatif kementerian.

 

"Inilah individu-individu yang saya yakinkan untuk meninggalkan bidang masing-masing dan datang berkhidmat bersama saya.

 

"Daripada cili ke semikonduktor, ekosistem syarikat pemula, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR), gaji progresif sehinggalah ke Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), mereka telah menterjemahkan banyak idea saya menjadi realiti," katanya.

 

Pasukannya terdiri daripada Dr Azraai Bahari Nasruddin, seorang pakar endokrin dari Universiti Cambridge; dan Benjamin Quek, seorang pengurus dana yang merupakan graduan dalam bidang perbankan dan kewangan dari Universiti Monash dan Universiti Johns Hopkins.

 

Beliau turut menyebut James Chai, graduan undang-undang dari University of London dan Oxford University serta seorang penulis; Ismaty Qayyum, graduan dalam bidang Politik, Falsafah dan Ekonomi dari London School of Economics dan Haqimi Zamri, graduan Politik dan Hubungan Antarabangsa dari University of Nottingham.

 

"Saya belajar banyak perkara daripada mereka, mungkin lebih banyak daripada apa yang mereka pelajari daripada saya," katanya. - DagangNews.com