Pada 28 Mei 2025, dua nama yang sinonim dengan janji reformasi dalam Kabinet Malaysia meletakkan jawatan. Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi, dan Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.
Rafizi mengotakan janjinya selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar dengan jurang undi yang melebar, sebanyak 9,803 berbanding yang diperolehnya hanya 3,866 undi.
Beliau telah menyerahkan notis peletakan jawatan pada 28 Mei, mula bercuti serta-merta hingga 16 Jun 2025, dengan tarikh akhir perkhidmatan pada 17 Jun 2025. Nik Nazmi pula gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden. Beliau akan bercuti bermula 29 Mei, dan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa pada 4 Julai 2025.
Kedua-duanya memilih untuk berundur dengan terhormat kerana tidak lagi memiliki mandat dalaman parti.
HIRUK vs DAMAI: Idealisme Bertemu Konsensus
Pertembungan sebenar dalam pemilihan PKR 2025 bukan soal personaliti. Ia adalah soal ideologi. Rafizi mewakili fraksi HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa) adalah blok dalam parti yang menolak politik akomodasi dengan musuh lama dan menentang pewarisan kuasa.
Nurul Izzah pula mengetuai fraksi DAMAI (Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif), yang berpegang kepada pendekatan kesederhanaan dan konsensus politik termasuk kerjasama dengan UMNO.
Pilihan akar umbi jelas. Mereka memilih keakraban darah daripada kecekapan dasar. Mereka memilih nama keluarga daripada angka fiskal. Mereka menolak akal yang berfungsi kerana terlalu jujur untuk dimanipulasi.
PADU: Data Yang Membunuh Retorik
Rafizi ialah arkitek PADU. Sebuah sistem pemetaan rakyat yang dibangunkan dengan kos RM31 juta dan melibatkan lebih 29 juta individu.
Sistem ini menjadi tunjang kepada pelaksanaan subsidi bersasar, termasuk pelan pengurangan subsidi diesel yang dijangka menjimatkan kerajaan RM8 bilion setahun. PADU dibina bukan untuk kempen pilihan raya, tetapi untuk menyelamatkan fiskal negara.
Kini, kelangsungan PADU dipersoal. Siapa akan menjaga sistem ini tanpa Rafizi? Siapa yang berani mempertahankan data di tengah gelombang persepsi?
Jika PADU dibiar mati perlahan, negara bukan hanya kehilangan teknologi. Ia kehilangan asas kepada pembinaan semula ekonomi berdasarkan rasional dan keperluan sebenar.
Dasar Tidak Popular, Tetapi Terbukti Berkesan
Keberanian Rafizi dalam merangka dasar fiskal yang tidak populis terbukti berkesan. Pada suku pertama 2025, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4%, melepasi unjuran awal sebanyak 4.0%.
Sektor perkhidmatan berkembang 5.0%, manakala sektor pembuatan turut meningkat 4.1%, disokong oleh pemulihan pelaburan dan kestabilan dasar.
Peningkatan ini bukan hasil spontan. Ia dibina di atas pelaksanaan PADU, reformasi subsidi diesel, serta penstrukturan semula pemberian bantuan yang lebih bersasar.
Tidak dinafikan, Ini hasil dasar fiskal jujur, tidak popular, tetapi rasional, yang dirangka dan dijelaskan dengan angka, bukan retorik.
RMK-13: Legasi Yang Belum Dibentang
Antara warisan terpenting Rafizi ialah draf Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijadual dibentangkan tahun ini.
Ia melibatkan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan negara: penyusunan semula kurikulum, struktur pentadbiran pendidikan, dan hala tuju pembangunan bakat masa depan. Ini bukan manifesto, tetapi pelan strategik negara.
Tanpa Rafizi, siapa yang akan pastikan RMK-13 tidak ditunggang oleh kepentingan politik? Atau akan ia diremehkan seperti satu lagi “buku tebal” yang dibentang untuk cukup syarat?
Nik Nazmi: Reformis Alam Sekitar Yang Tak Bertempik
Nik Nazmi tidak berdiri di pentas dengan pantun atau slogan. Tapi beliau meninggalkan rekod kerja sebagai bukti nyata. Di bawahnya, Malaysia menghantar Biennial Transparency Report 1 dan pelan LT-LEDS, meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dan menguruskan pelaburan RM1.7 bilion untuk projek pembetungan strategik.
Beliau memimpin pelaksanaan National Energy Transition Roadmap (NETR), yang membuka peluang pelaburan hijau melebihi RM100 bilion menjelang 2050. Malaysia buat pertama kalinya menghantar komitmen rasmi berkaitan net-zero karbon melalui COP28 di Dubai.
Beliau juga memulakan pelaksanaan ECOPOD, mesin kitar semula pintar pertama negara, dan meluluskan perluasan zon konservasi hutan.
Bila pelabur asing bertanya tentang transisi karbon dan polisi tenaga masa depan, siapa dalam Kabinet yang boleh menjawab tanpa bergantung pada nota pegawai selain beliau?
Penjawat Awam: Diangkat Bila Berjaya, Dipersalah Bila Gagal
Satu perkara jarang berlaku. Rafizi dalam kenyataan akhir beliau sebagai menteri mengangkat penghargaan kepada penjawat awam – golongan yang sering dituduh tidak cekap dan tidak inovatif. Tapi merekalah yang menjayakan PADU, merangka reformasi subsidi, dan melaksanakan strategi fiskal negara.
Politik Malaysia cepat memuji diri, lambat memuji birokrasi. Bila dasar gagal, penjawat awam disalahkan. Bila berjaya, menteri populis tampil di televisyen.
Malaysia Takut Pada Mereka Yang Tak Boleh Dipulas
Apa yang berlaku kepada Rafizi dan Nik Nazmi bukan soal kekalahan. Ia adalah bukti bahawa politik kita takut kepada otak yang hidup. Sistem ini tidak tahu mengurus orang jujur. Ia tidak tahu apa mahu dibuat dengan individu yang tidak mahu pura-pura.
Rafizi bukan tokoh yang sempurna. Beliau kadang-kala terlalu teknokratik. Tapi kesalahan beliau bukan kerana silap dasar, tetapi kerana bercakap dalam bahasa data yang berakal di tengah masyarakat yang dibanjiri retorik.
PKR: Dari Parti Reformasi Kepada Institusi Pewarisan?
PKR tidak lagi kelihatan sebagai parti masa depan. Ia kini sedang menjalani mutasi menjadi institusi pewarisan yang berselindung di sebalik slogan “rakyat”.
Bila merit ditolak, dan simbolisme diangkat, maka PKR sedang melangkah ke jalan yang pernah ditentangnya, di mana ia menjadi cerminan parti lama yang digantikan hanya pada logo.
Reformasi bukan lagi seruan. Ia kini menjadi ritual yang diulangi tetapi tidak dihayati.
Siapa Yang Tinggal? Siapa Bakal Mengalas Tanggungjawab?
Pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi bukan tragedi individu. Ia adalah tragedi sistem. Bila menteri yang membina dianggap beban, dan mereka yang sekadar selesa di pentas dianggap wira, maka masa depan negara ini sedang disusun oleh tangan-tangan yang tidak berani berfikir.
Kita tidak patut bertanya kenapa Rafizi pergi? Dan tidak patut bertanya kenapa Nik Nazmi pergi? Kita patut bertanya siapa yang akan menggantikan mereka selepas ini?
Yang pasti, soalan ini lebih menakutkan daripada jawapan. - DagangNews.com








