Quill Group meterai MoU dengan FAW China edar kereta mewah Hongqi di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Quill Group meterai MoU dengan FAW China edar kereta mewah Hongqi di Malaysia

Model terbaharu elektrik sepenuhnya Hongqi, E-HS9
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 23 April - Quill Group memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pengeluar automotif China, First Automotive Works (FAW) Group bagi menjadi pengimport dan pengedar jenama kereta mewah Hongqi di Malaysia.

 

Menurut Quill Group, Hongqi dijadualkan membuat pelancaran rasmi di pasaran Malaysia sebelum penghujung 2026.

 

Di bawah MoU itu, kumpulan berkenaan akan bertindak sebagai rakan strategik dan pengedar, menerajui aktiviti import bagi jenama automotif bersejarah tersebut. Kerjasama itu dijangka membuka laluan kepada Hongqi untuk mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran kenderaan ultra mewah negara.

 

Pengarah Urusan Quill Group, Datuk Dr Jennifer Low berkata, pihaknya amat berbangga kerana diberi kepercayaan memperkenalkan jenama berkenaan ke pasaran tempatan.

 

“Ia merupakan jenama yang sangat istimewa dengan legasi tersendiri, menjadi pilihan pemimpin serta diiktiraf di peringkat global kerana kualiti tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Jenama berkenaan, yang dikenali sebagai kenderaan rasmi pemimpin negara China, dimiliki oleh syarikat milik kerajaan, FAW Group.

 

Datuk Dr Jennifer Low
Datuk Dr Jennifer Low

 

Bendera Merah

Nama Hongqi membawa maksud “Bendera Merah” dalam bahasa Cina dan dianggap sebagai simbol kebanggaan nasional industri automotif negara itu.

 

Low berkata, dengan hubungan dua hala kukuh antara Malaysia dan China yang terjalin sejak 1974, adalah wajar Malaysia dipilih sebagai antara pasaran pemanduan sebelah kanan utama bagi peluasan strategik Hongqi.

 

“Dengan hubungan dua hala kukuh antara Malaysia dan China yang terjalin sejak 1974, adalah wajar kami dipilih sebagai salah satu pasaran pemanduan sebelah kanan utama bagi peluasan strategik Hongqi,” katanya.

 

Quill Group berkata, kerjasama itu akan membolehkan reka bentuk tersendiri, prestasi luar biasa serta piawaian keselamatan bertaraf antarabangsa jenama tersebut ditawarkan kepada pengguna yang mementingkan kualiti premium.

 

Low berkata, kumpulan itu menyasarkan kemasukan Hongqi yang berjaya dan berprestij, khususnya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kenderaan premium dan ultra mewah.

 

“Dengan memanfaatkan kepakaran korporat Quill Group yang luas serta komitmen terhadap kecemerlangan, kami akan memperkukuh keyakinan pengguna menerusi program pemasaran menyeluruh, sokongan selepas jualan bertaraf tinggi serta ketersediaan alat ganti yang lancar,” katanya.

 

Butiran lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi, barisan model awal serta rangkaian pengedar akan diumumkan kelak.


 

solar
Presiden China, Xi Jinping menaiki Hongqi memeriksa perbarisan di Beijing

 


Kenderaan Hongqi kini dieksport oleh FAW Group ke lebih 87 negara dan wilayah di seluruh dunia termasuk Eropah, Amerika Latin, Asia Barat dan Asia Tenggara.

 

Sering digelar sebagai “Rolls-Royce dari China”, Hongqi terkenal dengan limosin mewahnya yang kerap digunakan Presiden China, Xi Jinping serta pemimpin tertinggi negara itu.

 

Sebagai jenama automotif tertua dan paling berprestij di China, Hongqi ditubuhkan pada 1958 oleh syarikat milik kerajaan, FAW Group, dan kekal sebagai jenama kereta paling mahal di negara tersebut. - DagangNews.com