Pusat Perubatan Mawar dianggar sediakan aliran pendapatan berulang yang stabil kepada Matrix Concepts - RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat Perubatan Mawar dianggar sediakan aliran pendapatan berulang yang stabil kepada Matrix Concepts - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - RHB Investment percaya Pusat Perubatan Mawar (MMC) bakal menyediakan pertumbuhan lebih kukuh serta aliran pendapatan berulang yang stabil kepada Matrix Concepts Holdings Bhd selepas usaha pembesaran wadnya selesai menjelang akhir 2025.

 

Katanya, pengembangan semasa akan menyaksikan kapasiti katil MMC meningkat daripada 88 kepada 109 apabila siap.

 

"Dalam jangka panjang, tanah seluas 0.68 hektar bersebelahan akan memberi peluang untuk pengembangan selanjutnya, termasuk pembangunan bangunan lapan tingkat yang berpotensi memuatkan sehingga 200 katil," katanya dalam atu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, MMC diunjur menyumbang antara 4% hingga 5% kepada keuntungan kumpulan dan dengan kapasiti yang diperluaskan dijangka memacu pertumbuhan hasil jangka panjang. 

 

Bagaimanapun, RHB Investment memberi amaran potensi pelaksanaan rawatan berkaitan diagnosis (DRG) boleh mengehadkan potensi peningkatan hospital.

 

Namun begitu, firma penyelidikan itu mengunjurkan keuntungan sebelum margin cukai MMC dalam jangka sederhana untuk berlegar sekitar 13% hingga 15% setanding dengan hospital besar berada di Lembah Klang.

 

Sementara itu, bagi segmen hartanah, RHB Investment menjangkakan Malaysia Vision Valley City (MVV City) menjadi pemacu utama pada pelancaran sulungnya pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

 

Pada Disember 2024, Matrix Concepts, dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan (NS Corporation), memulakan fasa pertama MVV City di negeri itu. Memegang 85% kepentingan, Matrix Concepts akan menerajui dalam memacu projek ke hadapan.

 

Dengan nilai pembangunan kasar RM15 bilion dan tempoh pembangunan 12 tahun, Fasa 1 MVV City meliputi 963. 9hektar, dan akan merangkumi lebih 404.6 hektar ruang perindustrian, 15,000 unit kediaman, dan lot komersial 70.4 hektar.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.72 sesaham.- DagangNews.com