KUALA LUMPUR 5 Mac - Pelan pengembangan perniagaan di luar negara diyakini memacu pertumbuhan Optimax Holdings Bhd pada FY25, kata Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).
Katanya, operasi kumpulan di Kemboja kekal berdaya tahan dengan rancangan untuk menempatkan lebih ramai doktor Malaysia bagi menampung permintaan yang semakin bertambah, menerima manfaat daripada harga pembedahan katarak pada premium antara 20% hingga 30% berbanding Malaysia.
"Sementara itu, pengembangan operasinya di Vietnam sedang berjalan seperti yang dirancang, dengan klinik pejabat jualan akan memulakan operasi pada 1QFY25.
"Inisiatif ini meletakkan Optimax untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan, mengukuhkan keyakinan kami terhadap keupayaannya untuk mengekalkan pertumbuhan dan mengembangkan pangkalan pesakitnya di seluruh rantau," katanya dalm satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih teras 4QFY24 merosot 3.3% kepada RM3.1 juta, disebabkan perbelanjaan pemasaran yang lebih tinggi yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran untuk klinik satelit yang baru ditubuhkan.
Keputusan itu adalah sejajar dengan jangkaan firma itu pada 96% daripada ramalan tahun penuh tetapi di bawah jangkaan pasaran pada 92%.
Sementara itu, hasil 4QFY24 meningkat 9.2% kepada RM34.3 juta, disokong bilangan pembedahan yang lebih tinggi.
Untung kasar kumpulan juga merosot sebanyak 3.8% pada 4QFY24, disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi daripada pusat jagaan ambulatori (ACC) dan klinik satelit yang baru berlesen, termasuk perbelanjaan kakitangan pra operasi dan perbelanjaan susut nilai.
"Kami kekal optimistik tentang keupayaan Optimax bagi mengembangkan bahagian pasarannya melalui usaha pemasaran strategik dan rancangan pengembangan pada FY25," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran 83 sen sesaham. - DagangNews.com








