KUALA LUMPUR 23 Sept – PTT Synergy Group Bhd bersama dua syarikat dari China — OMH (Shandong) Co Ltd dan AUBO (Shandong) Robotics Technology Co Ltd akan bekerjasama membangunkan sebuah kemudahan gudang automasi di Malaysia yang mempunyai nilai rujukan sekitar RM2 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PTT memberitahu telah memeterai satu perjanjian rangka kerjasama dengan kedua-dua syarikat tersebut bertujuan mewujudkan aliran pendapatan baharu kepada kumpulan serta memperkukuhkan daya saing Malaysia dalam sektor automasi logistik dan infrastruktur rantaian bekalan pintar.
Menurut syarikat itu, kemudahan yang dicadangkan akan menyediakan sekitar dua juta posisi palet apabila siap kelak.
Di bawah perjanjian tersebut, OMH akan mengetuai pelaksanaan sebagai penyepadu sistem utama dan akan membentuk satu pasukan teknikal bersama AUBO, yang akan menyumbangkan penyelesaian automasi robotik kolaboratif.
Sementara itu, PTT akan bertanggungjawab terhadap urusan kelulusan kerajaan, permit tanah dan pembangunan infrastruktur di Malaysia.
“Kerjasama ini menggabungkan kepakaran PTT dalam pengurusan projek tempatan, kebolehan integrasi sistem oleh OMH, serta teknologi robotik dari AUBO — bagi membangunkan sebuah kemudahan gudang automasi bernilai RM2 bilion.
"Ia dijangka dapat memperkukuh kedudukan PTT dalam sektor automasi logistik, menjana aliran pendapatan baharu dan meningkatkan daya saing Malaysia dalam infrastruktur rantaian bekalan pintar,” jelas PTT dalam kenyataan itu.
Perjanjian tersebut berkuat kuasa mulai 22 September 2025 dan akan kekal sah untuk tempoh lima tahun, kecuali ditamatkan lebih awal oleh mana-mana pihak.
PTT turut menjelaskan nilai kontrak muktamad akan ditentukan kemudian melalui perjanjian definitif yang akan dimeterai oleh semua pihak berkaitan.
Kumpulan itu menjangkakan bahawa kerjasama ini akan memberi impak positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat dalam tahun-tahun mendatang.
Lembaga Pengarah PTT turut menegaskan bahawa langkah strategik ini adalah demi kepentingan terbaik kumpulan. - DagangNews.com








