KUALA LUMPUR 9 Feb — Kerajaan menegaskan sekatan perjalanan ke luar negara tetap dikenakan ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan tinggi.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim memberitahu Dewan Rakyat, ini termasuk ke atas mereka berpendapatan cukup besar tetapi gagal membuat sebarang pembayaran balik hutang.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, tindakan tegas itu tidak melibatkan graduan baharu, peminjam yang belum mempunyai pendapatan, serta golongan dikategorikan sebagai berpendapatan B40 dan M40.
“Sekatan perjalanan hanya dikenakan kepada peminjam yang benar-benar ingkar, berpendapatan tinggi atau mencukupi dan memenuhi kriteria tertentu ditetapkan oleh pihak PTPTN sendiri,” katanya.
Adam Adli menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Perikatan Nasional-Maran). Menurutnya ketika ini hanya 0.7% daripada keseluruhan peminjam ingkar PTPTN tertakluk kepada sekatan tersebut.
Bagi meringankan beban graduan, kerajaan mengekalkan tempoh bertenang selama 12 bulan selepas tamat pengajian sebelum bayaran balik, bagi memberi ruang untuk mencari pekerjaan dan pendapatan stabil.
Selain itu, peminjam yang tidak mampu membuat bayaran balik masih lagi dibenarkan menstrukturkan semula pinjaman mengikut kemampuan kewangan masing-masing sehingga mencecah umur 60 tahun.
"Setakat ini, sejumlah RM77.5 bilion pinjaman PTPTN sudah disalurkan bagi membantu lebih 4.26 juta pelajar di seluruh negara," tambah Adam Adli. - DagangNews.com








