PT Resources bina kilang baharu memproses kelapa bernilai RM17 juta di China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PT Resources bina kilang baharu memproses kelapa bernilai RM17 juta di China

Dari kiri Pengarah Urusan PT Resources Holdings Berhad, Heng Chang Hooi; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Asmuni Sudin; Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Chan Foong Ping; dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Steven Wong Chin Fung.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 Jun - Syarikat pemprosesan dan perdagangan makanan laut sejuk beku, PT Resources Holdings Berhad (PTRB), kini meluaskan operasinya dengan membuka kilang pemprosesan kelapa baharu bernilai RM17 juta di Fuqing City, Fujian, China.

 

Kilang itu dibina melalui anak syarikatnya, Fujian HJS International Holdings Co Ltd di Taman Perindustrian Makanan China-Indonesia, iaitu zon ekonomi khas yang menyokong industri makanan dengan kemudahan seperti pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), logistik dan pengurusan pintar.

 

Pengarah Urusan PTRB, Heng Chang Hooi berkata, kilang pemprosesan kelapa tersebut adalah yang pertama seumpamanya di China yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat asing, menjadikannya satu pencapaian penting bagi syarikat.

 

"Kilang ini akan menghasilkan pelbagai produk berasaskan kelapa seperti air kelapa beku, santan beku, kelapa kering dan produk-produk lain. 

 

"Pelaburan untuk kilang ini dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman. Operasi penuh dijangka bermula pertengahan Jun 2025," katanya dalam satu kenyataan.

 

PTRB

 

Chang Hooi berkata, permintaan terhadap produk berasaskan kelapa di China semakin meningkat disebabkan kesedaran kesihatan, minat terhadap diet berasaskan tumbuhan, serta penggunaan santan kelapa sebagai alternatif tenusu yang popular di kedai kopi dan minuman khas.

 

"Air kelapa dan produk seperti yogurt kelapa juga semakin mendapat sambutan. 

 

"Malah, kelapa digunakan dalam industri seperti untuk menghasilkan karbon aktif bagi penapis udara," jelasnya.

 

PTRB pada peringkat awal akan memberi tumpuan kepada pasaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B), terutamanya membekalkan produk kepada pengeluar makanan dan minuman (F&B) di wilayah Fujian dan kawasan dalam jarak 700 kilometer. 

 

Wilayah berkenaan merupakan hab utama untuk import dan pemprosesan kelapa matang di China.

 

Berdasarkan kajian Grand View Research, China menyumbang 10.2% daripada pasaran produk kelapa global pada tahun 2022 dengan pendapatan sebanyak RM8.90 bilion. 

 

Pasaran itu dijangka meningkat kepada RM15.25 bilion menjelang tahun 2030.

 

PTRB kini bekerjasama dengan pengedar dan pengeluar di China, termasuk mengeluarkan jenama sendiri dan perkhidmatan OEM. 

 

Syarikat juga merancang untuk menggunakan kemudahan eksport di Fujian bagi memasuki pasaran ASEAN dan menyertai pameran seperti China Food and Drinks Fair.

 

Selain itu, PTRB sedang mengatur bekalan kelapa matang yang tetap dari Indonesia untuk memastikan kilang sentiasa mempunyai bahan mentah mencukupi. - DagangNews.com