KUALA LUMPUR 4 Feb - Proton Holdings Bhd pada bulan lalu mencatat jualan kenderaan hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap Proton Saga yang mencatatkan jumlah jualan bulanan tertinggi dalam sejarah model tersebut.
Pengeluar kereta nasional itu merekodkan jualan sebanyak 19,833 unit pada Januari, paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun, berbanding 9,918 unit yang dicatatkan pada Januari 2025.
Susulan permulaan yang kukuh itu, Proton menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak 200,000 unit bagi tahun 2026 dan menjangkakan bahagian pasarannya meningkat kepada sekitar 30.6%, iaitu paras tertinggi sejak Januari 2012.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, prestasi positif tersebut mencerminkan keberkesanan strategi penyegaran barisan model syarikat merangkumi penawaran baharu enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV).
“Proton telah mencatatkan permulaan yang sangat baik pada 2026. Usaha kami memperkenalkan model baharu serta menekankan teknologi dalam setiap kenderaan kini mula memberikan pulangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Proton turut merancang untuk memperluaskan lagi aktiviti pengeluaran tempatan bagi memastikan pelanggan memperoleh kenderaan berkualiti pada harga yang kompetitif.
Dari segi industri, Proton menganggarkan jumlah volum industri (TIV) meningkat 28.3% tahun ke tahun pada Januari. Namun, secara bulanan, TIV dijangka susut 28.6% berbanding paras tertinggi yang direkodkan pada Disember 2025.
Proton Saga muncul sebagai penyumbang utama jualan dengan 10,285 unit terjual sepanjang Januari. Sejak pelancaran rasminya pada 27 November 2025, lebih 19,000 unit telah dihantar kepada pelanggan, bersamaan satu unit setiap lima minit.
Proton memaklumkan, dengan momentum tempahan yang kekal kukuh dan hampir 100,000 tempahan diterima setakat ini, Saga dijangka terus menjadi model terlaris syarikat dalam tempoh terdekat.
Pelancaran Proton Saga di Brunei pada Februari, selain peluasan berperingkat ke pasaran antarabangsa lain, dijangka terus menyokong pertumbuhan jualan kumpulan.
Model lain turut mencatatkan prestasi positif, dengan Proton X50 terjual 2,429 unit, meningkat 69.3% tahun ke tahun, manakala Proton X70 terbaharu mencatatkan 672 unit, naik 16.5%.
Sementara itu, Proton S70 merekodkan prestasi bulanan terbaik sejak Mei 2025 dengan 1,604 unit terjual, peningkatan 40.3%, manakala model perdana Proton X90 mencatatkan kenaikan jualan 24.1% kepada 252 unit. - DagangNews.com








