Proton perkenal e.Mas 7 di Trinidad dan Tobago | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Proton perkenal e.Mas 7 di Trinidad dan Tobago

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 Jun - Proton terus memperluas pasaran globalnya dengan melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama syarikat, Proton e.MAS 7, di Trinidad dan Tobago, yang juga pasaran eksport kedua untuk model itu selepas Nepal.

 

Majlis pelancaran berlangsung di ibu negaranya, Port of Spain, dirasmikan oleh wakil rasmi pengedar Proton di sana, ANSA Motors Limited, yang telah menjadi rakan niaga syarikat automotif Malaysia itu sejak tahun 2013.

 

Bagi menyokong permintaan EV yang semakin meningkat, ANSA Motors turut membuka bilik pameran khas EV baharu di The City of Grand Bazaar. 

 

Kemudahan baharu tersebut membolehkan pelanggan mengenali teknologi EV, melihat model yang ditawarkan dan mendapatkan bantuan pakar.

 

Proton mula memasuki pasaran Trinidad dan Tobago tahun lalu dengan model X50 dan X90 yang mendapat sambutan baik. 

 

proton

 

Sehingga kini, sebanyak 481 unit kereta Proton telah dihantar ke negara itu, termasuk 271 unit X50, 141 unit X90 dan 44 unit Proton Saga.

 

Model e.MAS 7 versi Premium di pasaran itu hadir dengan pelbagai ciri menarik, termasuk penarafan keselamatan 5 bintang ASEAN NCAP, pecutan 0-100 km/j dalam 7.1 saat dan kuasa maksimum 160kW serta 320Nm tork. 

 

Ia dilengkapi bateri Aegis Short Blade 60.22 kWh, yang mampu bergerak sejauh 410 km mengikut standard WLTP.

 

Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Edmund Lim Meng Thong berkata, pelancaran berkenaan menunjukkan komitmen Proton untuk menggalakkan penggunaan EV di pasaran antarabangsa.

 

"Ini adalah pencapaian penting bagi Proton dan kami bangga dapat memperkenalkan e.MAS 7 kepada rakyat Trinidad dan Tobago. 

 

"Kami juga merancang untuk memasuki pasaran Mauritius dan Singapura menjelang akhir tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Langkah itu turut mengukuhkan usaha Proton untuk menjadi peneraju teknologi automotif dan mengembangkan jenama Malaysia di peringkat global. - DagangNews.com