Prospek YTL Corp kekal cerah, berpotensi menang lebih banyak kontrak projek infrastruktur - CGS International  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek YTL Corp kekal cerah, berpotensi menang lebih banyak kontrak projek infrastruktur - CGS International 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb - Penganalisis kekal optimis terhadap pendapatan YTL Corp Bhd, CGS Internatioanl Research meramalkan perkembangan kumpulan itu akan disokong oleh potensi kemenangan kontrak projek infrastruktur.

 

YTL mencatat keuntungan bersih yang lebih rendah sedikit sebanyak RM580 juta, mencerminkan pendapatan asas sesaham sebanyak 5.26 sen bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25).

 

Hasilnya, bagaimanapun, meningkat sebanyak 7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM8 bilion berbanding RM7.53 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM913.72 juta dan hasil RM15.83 bilion pada separuh kedua berakhir 31 Disember 2024 (2H25).

 

Keuntungan bersih terasnya sebanyak RM521 juta pada 2Q25 membawa keuntungan bersih teras 1H25 kepada RM1 bilion.

 

CGS Interntional berkata, keputusan kewangan YTL Corp itu mencapai 52% daripada ramalan keuntungan bersih teras tahun kewangan 2025 dan 50% daripada konsensus. 

 

"Kami menganggap keputusan itu telah memenuhi jangkaan tahunan kami," katanya dalam satu nota penyelidikan. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemangkin utama bagi prospek YTL ialah bidaannya ke atas projek transit Johor atau projek transit aliran ringan (RTS).

 

“Pada pandangan kami, YTL berpotensi menjadi proksi bermodal besar kepada projek infrastruktur utama di Malaysia dengan perniagaan simen sinerginya,” katanya.

 

Bagi prestasi enam bulan terkumpul, keuntungan bersih YTL Corp turun kepada RM1.24 bilion daripada RM1.69 bilion, manakala hasil meningkat kepada RM11.3 bilion daripada RM10.82 bilion sebelumnya.

 

Kedua-dua YTL Corp dan YTL Power berkata mereka menjangkakan daya tahan berterusan merentasi segmen memandangkan perniagaan mereka yang mementingkan operasi cekap dan akan memantau dengan teliti risiko yang berkaitan dan potensi impak. - DagangNews.com