KUALA LUMPUR 25 Feb - Prospek pertumbuhan Solarvest Holdings Bhd dilihat positif, dijangka meraih kontrak kejuruteraan solar, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM20 bilion dalam jangka masa dua tahun.
Phillip Capital berkata, pelancaran program solar berskala besar (LSS) yang akan datang, termasuk LSS5 (2GW) dan LSS5+ (2GW) dan LSS6 yang baharu diperkenalkan, mengesahkan tinjauan kenaikan harga saham terhadap prospek pertumbuhan pemain EPCC solar seperti Solarvest.
"Memandangkan kedudukan pasaran Solarvest yang kukuh, kami percaya ia mempunyai kelebihan daya saing berbanding rakan setaranya bagi mendapatkan peluang ini.
"Sehubungan dengan itu, kami menyemak semula anggaran penambahan buku pesanan FY27 Solarvest kepada RM1 bilion, daripada RM300 juta sebelum ini," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dijangka melancarkan pusingan bidaan baharu pada separuh kedua 2025 (2H25) bagi program Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 400MW/1,600MWj dan Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Diperbaharui Komuniti (CREAM).
Walaupun butiran mengenai program BESS masih terhad pada masa kini, ia dijangka beroperasi di bawah perjanjian konsesi.
Phillip Capital percaya Solarvest mungkin akan berusaha untuk mendapatakan bidaan tersebut sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya.
"Kami menurunkan pelarasan pendapatan FY25 kami untuk mencerminkan bil projek lebih rendah, diimbangi dengan margin lebih tinggi.
"Ramalan pendapatan FY26 Solarvest dinaikkan sebanyak 18%, mengambil kira pengiktirafan buku pesanan lebih tinggi dan sumbangan daripada syarikat bersekutu.
"Kami juga meningkatkan anggaran FY27 kami selepas mengambil kira penambahan buku pesanan lebih tinggi dan peningkatan pasca pendapatan, kami mengekalkan asaranan "beli" dan menaikkan harga sasaran (TP) kami kepada RM2.54 daripada Rm2 sesaham," katanya.- DagangNews.com








