Prospek Sime terus mencabar kesan persaingan sengit operasi di China - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Sime terus mencabar kesan persaingan sengit operasi di China - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Feb - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) meramalkan prospek Sime Darby Bhd kekal mencabar kesan perang harga berterusan bagi operasi di pasaran China.

 

Katanya, di Malaysia, permintaan bagi kenderaan bermotor dijangka lemah berikutan cadangan rasionalisasi subsidi bahan api serta pengenalan cukai barangan bernilai tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kemasukan pengeluar peralatan asal (OEM) China dan penetapan harga yang kompetitif boleh meningkatkan persaingan pasaran dan seterusnya menjejaskan margin keuntungan dan mengehadkan pertumbuhan pendapatan.

 

"Walaupun berdepan pelbagai cabaran, prestasi cemerlang bahagian perindustrian di Australasia dan Malaysia serta UMW dijangka dapat mengimbangi kelemahan operasinya di China," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung Sime pada 2QFY25 susut 86.7% kepada RM305 juta, isytihar dividen 4 sen

 

Hasil kumpulan bagi suku tersebut meningkat 14.2% kepada RM17.7 bilion, berbanding RM15.5 bilion pada tahun kewangan sebelumnya 2QFY24.

 

Keuntungan bersih teras bagi suku tersebut berjumlah RM305 juta, peningkatan 13.4% berbanding RM269 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

PublicInvest berkata, hasil 2QFY25 meningkat sebanyak 14.2% kepada RM17.7 bilion didorong sumbangan daripada bahagian UMW dan sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan yang lebih rendah daripada kedua-dua bahagian motor dan perindustrian.

 

Katanya, perolehan bahagian UMW yang baru diambilalih itu melonjak hampir lima kali ganda kepada RM4.3 bilion disebabkan sumbangan penuh keputusan suku itu.

 

"Hasil bahagian perindustrian turun 6.8% kepada RM4.7 bilion disebabkan jualan yang lebih rendah dari Australia, ditambah dolar Australia yang lebih lemah berbanding Ringgit Malaysia pada suku semasa," katanya.

 

Firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap ramalan pendapatan dan mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM2.45 sesaham. - DagangNews.com