KUALA LUMPUR 16 Jan - Prospek pertumbuhan sektor teknologi semakin kukuh pada tahun kewangan 2026 (FY26) dipacu permintaan kecerdasan buatan (AI) yang kini mula meluas ke sub-sektor lain, termasuk AI fizikal menurut penganalisis.
RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, momentum pertumbuhan sektor itu dijangka mampu mengimbangi kelemahan berkaitan turun naik pertukaran asing (FX), selain disokong oleh panduan pengurusan yang lebih optimistik daripada kebanyakan pemain industri, walaupun berdepan kelembapan bermusim pada 4Q25 dan 1Q26.
RHB turut melihat potensi kenaikan yang lebih menarik dalam kalangan pemain barisan kedua, memandangkan peningkatan asas fundamental mereka masih belum sepenuhnya diterjemahkan dalam harga saham.
"Pada masa sama, penilaian sektor sekitar 22 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) hadapan dilihat menarik kerana berada di bawah purata jangka panjang, berbanding unjuran pertumbuhan pendapatan FY26 melebihi 50%," kata firma itu yang turut mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor tersebut.
RHB berkata, dari segi industri global, Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) telah menyemak naik unjuran pertumbuhan jualan semikonduktor dunia kepada 26% tahun ke tahun (YoY) pada 2026, berbanding anggaran terdahulu 8.5%, disokong oleh pemulihan yang lebih menyeluruh merentasi pelbagai segmen.
Selari dengan itu, SEMI turut menaikkan ramalan jualan peralatan semikonduktor kepada AS$145 bilion pada 2026, daripada AS$138 bilion sebelum ini.
Katanya, momentum pertumbuhan dijangka lebih ketara dalam segmen bahagian belakang (back-end), dengan jualan peralatan ujian serta pemasangan dan pembungkusan masing-masing diunjur meningkat 12% dan 9%, dipacu oleh peningkatan kerumitan cip serta penggunaan pesat teknologi pembungkusan lanjutan dan heterogen.
Di peringkat sub-sektor pula kata RHB, pengeluar peralatan ujian automatik (ATE) dan penyedia sokongan kejuruteraan dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh sehingga 2026, selari dengan peningkatan volum dan kompleksiti semikonduktor.
Pemain OSAT pula berada pada kedudukan baik untuk mengekalkan tahap aktiviti yang mampan, walaupun kadar pemulihan berbeza mengikut pendedahan pasaran masing-masing.
RHB menambah, dari segi prestasi kewangan, keputusan 3Q25 kebanyakannya sejajar jangkaan, walaupun terdapat beberapa kekurangan akibat kos pra-operasi, pengiktirafan pesanan yang lebih perlahan, tekanan margin serta kesan FX.
"Namun, trend hasil dan pendapatan secara keseluruhan kekal positif, disokong oleh pemulihan permintaan telefon pintar, kitaran penggantian peranti, peningkatan didorong AI, permintaan pelayan dan periferal yang lebih kukuh, serta keperluan litar bersepadu pengurusan kuasa (PMIC)," katanya.
RHB bagaimanapun memberi amaran bahawa kenaikan harga memori berpotensi menekan output elektronik pengguna seperti telefon pintar, komputer peribadi dan automotif.
Risiko lain termasuk pengukuhan mata wang, tekanan kos, kesan tarif serta kelewatan pesanan dalam persekitaran makroekonomi yang tidak menentu.
Katanya, dalam konteks dasar monetari, kitaran penurunan Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat dijangka menyokong penilaian saham dan membantu meredakan volatiliti MYR/USD, dengan impak pendapatan dianggarkan sekitar 0.8% hingga 3% bagi setiap perubahan 1% kadar pertukaran asing.
RHB menyenaraikan Malaysian Pacific Industries (MPI) dan CTOS Digital (CTOS) sebagai saham pilihan utama, manakala bagi saham bermodal kecil, Coraza Integrated Technology dan JHM Consolidation dilihat sebagai pilihan berkeyakinan tinggi.
Sementara itu MBSB Research berkata, Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2026 juga menyaksikan peningkatan penekanan terhadap AI fizikal, khususnya robot humanoid yang melaksanakan tugasan berorientasikan manusia.
Antara yang mencuri tumpuan ialah Atlas oleh Boston Dynamics untuk aplikasi industri serta CLOiD oleh LG bagi membantu kerja-kerja rumah.
"Walaupun penggunaan teknologi ini masih terhad kepada skop tertentu dalam jangka terdekat, perkembangan tersebut menunjukkan AI fizikal semakin hampir kepada pengkomersialan berskala besar.
"Sehubungan itu, kehadiran dalam rantaian bekalan AI fizikal dan robotik dilihat berpotensi menjadi pemangkin nilai kepada syarikat semikonduktor tempatan," katanya.
MBSB menambah, dalam perkembangan berkaitan, ARM Holdings turut menubuhkan unit perniagaan AI Fizikal bagi membangunkan teknologi yang menggabungkan AI dengan pergerakan fizikal dunia sebenar, termasuk kenderaan, robot dan mesin autonomi.
Katanya, langkah itu berpotensi memberi kesan limpahan positif kepada Malaysia, sejajar dengan inisiatif kerjasama RM1.1 bilion yang dimeterai antara Malaysia dan ARM pada Mac 2025 untuk mengalihkan industri semikonduktor negara daripada aktiviti pemasangan dan ujian kepada reka bentuk bahagian hadapan bernilai tinggi. - DagangNews.com








