KUALA LUMPUR 4 Feb - Walaupun ekonomi Malaysia berkembang dengan lebih perlahan, prospek sektor pembuatan kekal positif dan dijangka bertambah baik pada 2025, kata TA Securities.
Bacaan Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) pembuatan S&P Global Malaysia menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjalan pada kadar yang lebih perlahan tetapi menunjukkan peningkatan berterusan tahun ke tahun dalam data pengeluaran rasmi.
PMI yang diselaraskan mengikut musim merekodkan 48.7 pada Januari 2025, meningkat sedikit daripada 48.6 pada bulan sebelumnya, mencerminkan peningkatan kecil, tetapi masih menunjukkan penguncupan dalam sektor itu.
Walaupun sektor pembuatan negara menunjukkan pertumbuhan yang perlahan, TA Securities berkata, keyakinan dalam perniagaan tempatan didapati semakin lemah.
"Keyakinan dalam perniagaan tempatan yang lemah menunjukkan ketidaktentuan faktor luaran yang menjejaskan sentimen sektor ini.
"Kesan potensi perang perdagangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terhadap rakan dagangan utama iaitu Kanada, Mexico dan China, masih tidak menentu pada peringkat ini.
"Kami berpendapat sebarang kelembapan dalam aliran perdagangan China boleh memberi kesan tidak langsung kepada Malaysia, memandangkan China merupakan salah satu destinasi eksport terbesar Malaysia.
“Selain itu, peralihan dalam rantaian bekalan global, ditambah pula dengan ketegangan geopolitik yang berterusan, mungkin menimbulkan ketidaktentuan selanjutnya dalam prestasi perdagangan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi mengekalkan kestabilan pertumbuhan ekonomi, Malaysia perlu mempelbagaikan pasaran eksport dan meningkatkan daya saing.
Dalam pada itu, PublicInvestment juga berkata, sektor pembuatan Malaysia diyakini berkembang dan kekal mampan, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan penambahbaikan rantaian bekalan.
“Bagaimanapun, risiko penurunan permintaan luar kekal tinggi, terutamanya pada 2H25, memandangkan prospek pertumbuhan global yang lemah dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat bakal membebankan industri berorientasikan eksport.
"Ketidakpastian yang semakin meningkat mengenai dasar perdagangan global, terutamanya berikutan pendirian dasar Trump, boleh menambah tekanan lagi terhadap aktiviti perindustrian.
"Walaupun menghadapi cabaran ini, penggunaan domestik yang stabil, langkah fiskal yang menyokong pelaburan, dan pemulihan beransur-ansur dalam rakan dagangan utama boleh membantu mengurangkan masalah luar," katanya.- DagangNews.com








