KUALA LUMPUR 9 Jun - Prestasi QL Resources Berhad bagi tahun kewangan 2026 (FY26) dijangka kekal kukuh, disokong oleh peningkatan margin projek dalam segmen Minyak Sawit dan Tenaga Bersih (POCE).
Produk berasaskan isi ikan serta operasi kedai serbaneka (CVS) seperti FamilyMart juga dijangka terus mencatat prestasi yang stabil.
Namun, segmen pembuatan produk marin (MPM) dijangka berdepan cabaran, manakala POCE pula menyasarkan pemulihan jualan di cawangan menjelang suku pertama FY26.
Bagi segmen ternakan (ILF), margin keuntungan dijangka kembali normal selepas subsidi telur ditamatkan pada Ogos 2025.
TA Securities mengekalkan penarafan 'pegang' untuk saham QL Resources dengan harga sasaran RM4.74 dan menjangkakan pertumbuhan segmen POCE kekal positif.
Pertumbuhan itu disokong oleh pengambilalihan Plus Xnergy serta dasar kerajaan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) .
"Anak syarikat QL, BM Greentech, turut menyumbang RM73.6 juta atau 76.5% daripada keuntungan sebelum cukai bagi segmen tersebut.
"Bagi segmen kedai serbaneka (CVS), jualan dijangka meningkat selepas pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah," katanya dalam satu nota kajian.
QL kini mengendalikan 445 kedai FamilyMart dan 152 FM Mini sehingga suku keempat tahun kewangan 2025.
Ia turut menyasarkan pembukaan 700 cawangan menjelang tahun kewangan 2027.
Sementara itu, Maybank IB juga mengekalkan penarafan 'pegang' terhadap saham QL Resources dengan harga sasaran RM4.25.
Firma penyelidikan tersebut menjangka segmen MPM akan kekal stabil dengan permintaan berterusan dan peningkatan penggunaan loji akan membantu pertumbuhan.
Namun, pemotongan subsidi telur dijangka memberi kesan kepada margin segmen ILF, kerana kenaikan harga jualan hanya sekitar 3 hingga 4 sen sebiji, lebih rendah daripada subsidi sebelumnya sebanyak 10 sen.
Bagi mengurangkan kesan itu, QL merancang untuk meningkatkan jualan telur berjenama, yang kini menyumbang 20% daripada jumlah jualan telur.
Syarikat juga merancang untuk menjual aset ladang kelapa sawit seluas 161.87 hektar dan sebuah kilang sawit di Tawau, Sabah, dengan sasaran penjualan selesai menjelang akhir tahun kewangan 2026.
"Antara risiko utama yang dikenal pasti adalah kejatuhan nilai ringgit yang boleh meningkatkan kos makanan ternakan, kos operasi yang lebih tinggi, serta potensi kehilangan tenaga pengurusan kanan," jelasnya.
Walaupun QL Resources berdepan beberapa cabaran jangka pendek seperti pemotongan subsidi dan kenaikan kos, penganalisis yakin syarikat akan terus kukuh pada FY26 berikutan kepelbagaian segmen perniagaan yang dimilikinya. - DagangNews.com








