KUALA LUMPUR 21 Nov - Prospek suku keempat 2025 bagi Press Metal Aluminium Holdings Bhd dijangka kekal positif, dipacu gabungan faktor penawaran global yang semakin ketat dan penurunan ketara kos bahan mentah utama,, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, situasi itu akan menyokong margin pendapatan syarikat itu yang telah menunjukkan peningkatan kukuh pada 3Q25.
Menurut RHB, berdasarkan situasi pasaran terkini, pengeluaran aluminium global meningkat sederhana +1% YoY bagi 9M25, ketika China, pengeluar terbesar dunia hampir mencapai had pengeluaran 45 juta tan, dengan angka Ogos 2025 mencecah 44.5 juta tan.
Katanya, situasi tersebut mengakibatkan penyusutan stok antarabangsa, termasuk stok LME yang merosot 23% YoY, manakala stok aluminium Shanghai menjunam 51% YoY.
"Perkembangan ini mendorong harga aluminium di London Metal Exchange (LME) melonjak kepada USD2,804 satu tan QTD, sekali gus menawarkan sokongan harga yang lebih kukuh kepada pemain industri seperti Press Metal," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB menambah, walaupun terdapat kebimbangan potensi lebihan pengeluaran apabila China merancang menambah kapasiti 1.5–2 juta tan aluminium di Indonesia pada 2026 dan 2027, pengurusan Press Metal percaya risiko tersebut lebih rendah berikutan isu kekangan bekalan tenaga yang dijangka melambatkan pelaksanaan projek tersebut.
Kos alumina menjunam, meningkatkan margin PMAH
Firma penyelidikan itu berkata, pada masa sama, harga alumina terus mereda kepada sekitar AS$320 satu tan, jauh lebih rendah berbanding purata AS$650 satu tan pada Januari.
Kejatuhan ini telah menurunkan nisbah harga alumina terhadap aluminium kepada 11.5%, lebih rendah daripada purata tiga tahun iaitu 16%.
Press Metal menjangkakan harga realisasi alumina akan terus berkurang AS$20–30 QoQ, yang memberi gambaran nisbah kos sekitar 14%, satu tahap yang mampu memperkukuh margin keuntungan suku mendatang.
Menurut THB, Press Metal mencatat keuntungan teras 3Q25 lebih tinggi 19% QoQ (+25% YoY), menjadikan keseluruhan 9M25 kepada RM1.54 bilion, naik 10% tahun ke tahun.
Margin EBITDA turut bertambah kepada 22.4%, disokong oleh harga alumina lebih rendah yang membolehkan kumpulan melupuskan kos inventori lama yang tinggi.
Syarikat turut mengisytiharkan dividen interim ketiga 2 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen 9M25 kepada 6 sen.
Sehubungan itu RHB, mengekalkan saranan BELI dengan kenaikan harga sasaran (TP) baharu kepada RM7.30, meningkat daripada RM7.20 sebelum ini.
Kaunter aluminium utama negara itu kini diniagakan pada 22.4 kali P/E FY26F, hampir sama dengan purata 3 tahun pada 22.7 kali – satu penilaian yang dianggap masih menarik memandangkan prospek pendapatan yang lebih kukuh. - DagangNews.com








