Prospek PETRONAS Dagangan 2026 kukuh dipacu limpahan manfaat Tahun Melawat Malaysia dan permintaan domestik - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek PETRONAS Dagangan 2026 kukuh dipacu limpahan manfaat Tahun Melawat Malaysia dan permintaan domestik - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Jan – Prospek PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) bagi tahun kewangan 2026 kekal positif, disokong oleh permintaan produk yang tidak anjal, pertumbuhan permintaan domestik serta limpahan manfaat daripada inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, PDB terus menjadi pilihan berikutan model perniagaan yang stabil, jenama yang kukuh, keuntungan yang konsisten serta pulangan dividen yang menarik.

 

Selain itu katanya, pengembangan aktif dalam perniagaan bukan bahan api, termasuk tenaga baharu dan bahan api hijau, dilihat berpotensi menjadi pemangkin penilaian semula dalam jangka panjang.

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan BELI ke atas kaunter berkenaan, namun menyemak turun harga sasaran kepada RM23.64 daripada RM25.19, selepas mengambil kira penilaian berdasarkan purata nisbah harga kepada pendapatan (PER) tiga tahun sebanyak 19.3 kali, dengan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 pada 122.5 sen," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Segmen Runcit Dijangka Pulih

Menurut MBSB Research , prestasi segmen runcit PDB dijangka pulih pada 2026 selepas mencatatkan prestasi lebih lemah pada 2025 berikutan trend penurunan harga Mean of Platts Singapore (MOPS).

 

Katanya, walaupun pergerakan harga MOPS masih menjadi faktor risiko, permintaan bahan api dijangka kekal kukuh, dipacu oleh peningkatan ketibaan pelancong sempena TMM2026 serta penggunaan domestik yang mampan.

 

Menurutnya lagi, PDB dijangka merekodkan peningkatan volum jualan runcit, sejajar dengan aktiviti ekonomi domestik yang berdaya tahan dan pertumbuhan sektor pelancongan.

 

Dalam masa sama, peluasan rangkaian stesen minyak dan Mesra Café turut membuka ruang pertumbuhan baharu.

 

PDB kini mengendalikan kira-kira 1,100 stesen minyak di seluruh negara dan merancang membuka tiga hingga empat stesen baharu setiap tahun.

 

"Syarikat itu juga memiliki sekitar 80 cawangan Mesra Café, dengan sumbangan segmen tersebut kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) dijangka meningkat kepada lebih 15% dalam jangka panjang, berbanding kira-kira 10% ketika ini," katanya.

 

Bahan Api Jet Pacu Segmen Komersial

Bagi segmen komersial, MBSB Research berkata, permintaan bahan api jet yang menyumbang kira-kira 50% kepada perniagaan komersial PDB dijangka kekal kukuh pada 2026, sejajar dengan peningkatan perjalanan udara sempena TMM2026.

 

Walaupun turun naik harga boleh menyebabkan ketidaktentuan margin suku tahunan, firma penyelidikan itu menjangkakan kesan tersebut akan seimbang sepanjang tahun.

 

"Dengan harga bahan api jet yang kekal tinggi, margin komersial dijangka dapat dipertahankan," katanya.

 

Fokus Bahan Api Mampan

Menurut MBSB Research, dalam jangka panjang, inisiatif PDB dalam bahan api mampan dilihat sebagai pemacu pertumbuhan baharu.

 

Syarikat menyasarkan untuk menghasilkan Sustainable Aviation Fuel (SAF) secara dalaman menjelang 2028 hingga 2029 di Pengerang, dengan kapasiti terancang sebanyak 650,000 tan setahun.

 

Langkah ini selari dengan mandat kerajaan yang mewajibkan campuran SAF sebanyak 1% bermula 2027, meningkat secara berperingkat kepada 47% menjelang 2050.

 

Secara keseluruhan, penilaian PDB kekal menarik disokong oleh asas perniagaan yang kukuh dan strategi pengembangan jangka panjang.

 

Namun, antara risiko utama kepada prospek syarikat termasuk rasionalisasi subsidi bahan api oleh kerajaan, kejatuhan mendadak harga MOPS, kelembapan ekonomi global serta kadar penggunaan kenderaan elektrik yang lebih pantas daripada jangkaan. - DagangNews.com