KUALA LUMPUR 7 Julai — Econpile Holdings Berhad masih dilihat berisiko besar terjejas pertumbuhan pendapatan sekiranya kos bahan mentah pembinaan adalah lebih tinggi, kata CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara dua faktor kelemahan utama yang dikenal pasti ketika ini sehingga boleh mengganggu sasaran buku pesanannya untuk mencecah sebanyak RM400 juta pada FY25.
Selain itu tambahnya, kelewatan dalam pelancaran beberapa projek mega dikhuatiri juga memberi kesan negatif kepada kumpulan pembinaan berkenaan yang setakat ini telah mencapai keseluruhan RM391 juta.
"Kami namun menyukai Econpile sebagai penerima utama dalam siri kebangkitan perbelanjaan prasarana kerajaan kerana memiliki rangkaian cerucuk terbesar di Malaysia," kata CGSI dalam nota kajiannya.
Prospek tersebut tambah firma berkenaan, membantu kumpulan itu dalam projek Sungai Klang Link yang membuka peluang tender kerja-kerja infrastruktur dan hartanah besar dianggar bernilai RM1.4 bilion.
Kumpulan itu menurutnya, juga sedang mengemukakan tender untuk pakej cerucuk yang lebih tinggi untuk projek transit aliran ringan di Pulau Pinang, yang dijangka diumumkan pada suku ketiga 2025.
Justeru, CGSI menjangkakan pendapatan Econpile mampu menunjukkan sedikit pemulihan pada tempoh 4QFY25 dan lebih jelas lagi pada FY26 apabila pengiktirafan kebanyakan projeknya semakin meningkat.
"Melangkah ke 2026, ia masih belum menyatakan sasaran kemenangan baharu rasmi tetapi kami percaya ia sepatutnya lebih tinggi berbanding FY25 dengan landskap tender harus bertambah baik," katanya.
Ramalan berkenaan tambah firma tersebut, dapat dicapai secara beransur-ansur dengan persekitaran kos yang lebih rendah dan meningkatkan aliran projek selain semua projeknya tiada isu warisan.
Berdasarkan perkembangan semasa yang kukuh itu, CSGI mengekalkan saranan 'tambah' ke atas kumpulan berkenaan dengan harga sasaran tidak berubah kepada 46 sen sesaham. - DagangNews.com








