KUALA LUMPUR 10 Julai — Kekurangan pelaburan dalam infrastruktur pengagihan bekalan tenaga dikenal pasti boleh menjejaskan prospek penggunaan kenderaan elektrik (EV), kata BIMB Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi kelemahan ketara itu boleh menimbulkan kesesakan struktur disebabkan ketiadaan peningkatan proaktif dalam pencawang dan talian penyuap tambahan.
Tambahnya, keadaan berkenaan dapat disaksikan di kawasan bandar berkepadatan tinggi dan taman perumahan yang lama, sehingga mengakibatkan berlaku kekangan untuk skala pengecasan kediaman.
"Pembelian EV di pasaran tempatan mungkin kekal berat sebelah terhadap mereka yang memiliki rumah bertanah atau kawasan ada rangkaian pengecasan awam," kata BIMB Securities dalam nota kajiannya.
Tambahnya, masa depan pasaran EV di negara ini positif kerana insentif struktur serta peningkatan kesedaran amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk elektrifikasi jangka panjang.
Bagaimanapun kata firma berkenaan, kekurangan infrastruktur sokongan melambatkan tahap penggunaan secara lebih luas selain daya tahan grid belum bertambah baik secara material di semua kawasan.
Dalam konteks ini, BIMB Securities melihat potensi terpilih bagi kontraktor yang terdedah kepada pelbagai kontrak untuk projek peningkatan grid dan aset pengagihan tenaga EV di seluruh negara.
"Bagaimanapun, kami masih berhati-hati terhadap prospek pengeluar peralatan asli EV dan pemain infrastruktur dengan pendedahan ketika ini lebih tertumpu kepada segmen kediaman," tambahnya.
Kapasiti penjanaan elektrik semasa Malaysia katanya, ialah 27,288MW, dan diunjurkan meningkat kepada 40,000MW menjelang 2029 tetapi isu sebenar terletak pada segmen pengedaran tenaga.
BIMB Securities berkata, pencawang dan talian penyuap, terutamanya di kawasan bandar yang sedia ada, tidak dilengkapi untuk menyokong beban pengecasan EV antara 11 hingga 20kW setiap isi rumah.
Isu ini tambahnya, menjadi lebih teruk apabila beberapa isi rumah mengecas kenderaan secara serentak, mengakibatkan lonjakan permintaan setempat yang berisiko menyebabkan gangguan tenaga.
"Untuk memastikan penggunaan EV dapat ditingkatkan secara mampan, Malaysia mesti melaksanakan beberapa tindakan utama," katanya sambil mengekalkan pendirian 'neutral' prospek penggunaan EV.
Antaranya kaa BIMB Securities, pembangunan industri kitar semula bateri domestik harus diberi insentif untuk mengurus sisa bateri akhir hayat dan membolehkan penggunaan hayat kedua.
Teknologi pengurusan beban pintar harus digalakkan, terutama pengecas EV rumah dan komersial yang boleh mengimbangi tenaga dan mengurangkan tekanan puncak pada grid. - DagangNews.com








