Prospek pendapatan AEON FY26 dijangka pulih seiring sentimen pengguna - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek pendapatan AEON FY26 dijangka pulih seiring sentimen pengguna - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Jan – Di sebalik tekanan kos dan prestasi pendapatan yang sederhana pada FY25, AEON Co (M) Bhd memperlihatkan prospek pemulihan dan lonjakan keuntungan FY26 susulan peningkatan sentimen pengguna serta perbelanjaan budi bicara, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perbelanjaan pengguna dan normalisasi operasi pada FY26 dilihat membuka ruang kepada lonjakan semula keuntungan, sekali gus mengekalkan saham pengendali runcit itu sebagai antara taruhan defensif pilihan dalam sektor pengguna.

 

RHB Research mengekalkan saranan “Beli” ke atas AEON dengan harga sasaran (TP) RM1.52, mewakili hasil sekitar 4% bagi FY26F, berikutan penilaian semasa yang disifatkan menarik apabila diniagakan kira-kira satu sisihan piawai di bawah purata sejarah.

 

Menurut RHB Research, tekanan pendapatan yang dialami pada FY25 adalah berpunca daripada inisiatif pengubahsuaian berskala besar yang dilaksanakan di beberapa pusat beli-belah utama AEON, namun kesannya dijangka bersifat sementara dan akan kembali normal dalam tempoh terdekat.

 

“Kebimbangan pasaran terhadap peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke segmen Pengurusan Hartanah (PMS) dilihat berlebihan, memandangkan permintaan penyewa terhadap ruang runcit utama AEON kekal kukuh,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagi suku keempat FY25 (4Q25), keuntungan bersih teras AEON dijangka berada dalam julat RM45 juta hingga RM50 juta, susut 13% hingga 22% tahun ke tahun (YoY). Prestasi lebih lemah ini sebahagian besarnya disebabkan perbezaan masa jualan Tahun Baharu Cina, yang jatuh lebih lewat pada 2026 berbanding 2025.

 

Untuk keseluruhan FY25, pendapatan teras diunjurkan sekitar RM140 juta hingga RM145 juta, turun 10% hingga 13% YoY, dipengaruhi oleh perbelanjaan budi bicara yang sederhana serta kesan kos dan gangguan operasi akibat kerja pengubahsuaian besar-besaran.

 

Dalam tempoh sembilan bulan pertama FY25, AEON membelanjakan kira-kira RM190 juta bagi kerja pengubahsuaian dan peluasan, lebih tinggi berbanding sekitar RM150 juta dalam tempoh sama FY24.

 

Perbelanjaan modal yang lebih tinggi ini turut membawa kepada kos permulaan yang meningkat serta kehilangan jualan akibat penutupan sementara, dengan pendapatan 9M25 berjumlah RM95 juta berbanding RM104 juta pada 9M24.

 

Bagaimanapun, prestasi segmen runcit dijangka bertambah baik pada FY26, disokong oleh jangkaan peningkatan sentimen pengguna serta sumbangan yang lebih bermakna daripada kedai-kedai yang telah siap dinaik taraf. Pengurusan juga menjangkakan skala dan bilangan pengubahsuaian utama pada FY26 akan kembali ke tahap normal.

 

Sementara itu, segmen PMS dijangka kekal sebagai penyumbang pendapatan yang stabil, dengan kadar penghunian melebihi 95% dan semakan sewa satu digit yang sihat.

 

Pengurangan kadar SST kepada 6% dilihat mampu menyokong rundingan sewaan, selain inisiatif pengezoningan semula penyewa yang berterusan bagi meningkatkan kemampuan tanpa menjejaskan pertumbuhan hasil sewaan.

 

Dari segi pengembangan, pusat beli-belah KL Midtown menjadi tumpuan utama FY26, dengan pembukaan disasarkan pada suku keempat FY26 dan penjenamaan lebih premium.

 

Menurut RHB Research, jika dilaksanakan dengan baik, projek ini berpotensi meningkatkan hasil sewaan AEON.

 

Format baharu AEON Style, yang dilancarkan di Semenyih pada Disember 2025, turut menunjukkan penerimaan awal yang menggalakkan, dengan dua lagi cawangan dirancang untuk dibuka pada FY26.

 

Susulan pelarasan kecil terhadap andaian kos operasi, RHB Research menaikkan unjuran pendapatan AEON bagi FY26F hingga FY28F sekitar 3% hingga 4% setahun. Ini menghasilkan TP baharu RM1.52 berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF), termasuk premium ESG sebanyak 6%.

 

Pada paras TP, AEON diniagakan sekitar 13 kali nisbah P/E FY26F, sejajar dengan purata lima tahun. Risiko utama kepada prospek syarikat termasuk sentimen pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan serta kos operasi yang lebih tinggi. - DagangNews.com