Prospek MyNews dikhuatiri terjejas disebabkan isu kenaikan sewa kedai - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek MyNews dikhuatiri terjejas disebabkan isu kenaikan sewa kedai - CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Julai — Prospek pertumbuhan MyNews Holdings Berhad dikhuatiri boleh terjejas disebabkan isu kenaikan penyewaan kedai di seluruh negara, menurut CGS International (CGSI).


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkara itu sendiri turut diakui ketika perbincangan dengan pihak pengurusan kumpulan berkenaan yang menyatakan ia dijangka memberi kesan pada tahun ini.


Peningkatan itu katanya, berikutan potensi lonjakan sewa daripada perluasan cukai jualan dan perkhidmatan yang bermula 1 Julai 2025 dan boleh mempengaruhi kedudukan kewangan tahun semasa.


"Apabila ditanya, MyNews menjangkakan impak maksimum daripada kenaikan sewa kira-kira 0.4 peratus daripada keseluruhan jumlah perolehan iaitu RM4 juta pada FY25," kata CGSI dalam nota kajiannya.


Selain itu tambahnya, kumpulan tersebut turut terjejas disebabkan pelaksanaan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja warganegara asing yang bermula Oktober 2025.


Kata firma berkenaan, bilangan mereka merangkumi 20 peratus daripada jumlah tenaga kerjanya dan MyNews turut menghadapi cabaran kenaikan kos utiliti disebabkan pelarasan semula tarif elektrik. 


Bagaimanapun kata CGSI, kumpulan itu masih yakin tekanan kos boleh diuruskan melalui rundingan dengan tuan tanah dan pembekal serta mengekalkan daya saing harga dalam segmen kedai serbaneka.


Ia juga menantikan perkembangan perniagaan jenama premis CU di bawah MyNews mula menguntungkan secara mampan, selepas mengalami kerugian RM51 juta berdasarkan Laporan Tahunan FY24.


"Pada pandangan kami, Mynews akan tumbuh kukuh pada 3QFY25 dengan pemulihan selepas Hari Raya Puasa berikutan peningkatan aktiviti pelancongan, percutian, cuaca panas dan perbelanjaan," katanya.


Berdasarkan kepada ramalan positif itu, CGSI mengekalkan saranan 'tambah' terhadap kumpulan tersebut dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada 75 sen sesaham. - DagangNews.com