KUALA LUMPUR 10 Jun - Prospek jualan SKP Resources pada 1QFY26 diyakini kekal kukuh disokong permintaan stabil daripada pelanggan sedia ada walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran akibat dasar tarif Amerika Syarikat (AS), kata RHB Research.
Katanya, kumpulan itu sedang meningkatkan tahap kecekapan bagi mencapai jumlah pengeluaran optimum dibantu oleh dua barisan pengeluaran baharu yang mula beroperasi pada Disember 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat itu juga sedang berusaha mendapatkan lebih banyak tempahan daripada pelanggan baharunya yang berpotensi menggandakan nilai kerja kepada RM200 juta setahun.
"SKP juga telah menerima banyak pertanyaan daripada pelanggan berpotensi susulan langkah tarif yang diambil oleh AS.
"Perkembangan ini juga mungkin telah mempercepatkan usaha untuk mendapatkan pelanggan baharu yang kini lebih mendesak untuk mempelbagaikan sumber pengeluaran mereka," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, SKP mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM119 juta (+23% tahun ke tahun) — bersamaan dengan 100% dan 98% daripada unjuran dan konsensus pasaran.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menyemak semula andaian volum dan margin selepas memperoleh panduan terkini daripada pihak pengurusan, yang mengakibatkan pengurangan unjuran pendapatan FY26-FY27 sebanyak 9% dan 5%.
Pendapatan FY25 melonjak 19% kepada RM2.2 bilion, terutamanya didorong oleh pemulihan volum daripada Pelanggan X berikutan pelarasan inventori pada tahun sebelumnya.
Dari suku tahun ke suku tahun, pendapatan dan keuntungan bersih bagi 4QFY25 masing-masing meningkat sebanyak 15% dan 18%, mencerminkan permintaan bermusim yang lebih baik serta kawalan kos yang ketat.
"Kami terus menyukai SKP kerana kedudukannya yang strategik untuk memanfaatkan peluang kepelbagaian rantaian bekalan susulan dasar tarif yang dilaksanakan oleh AS," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.25 sesaham. - DagangNews.com








