Prospek Gamuda diramal berkembang jadi pemaju RE skala besar, menurut penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Gamuda diramal berkembang jadi pemaju RE skala besar, menurut penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Julai — Usaha terbaharu Gamuda Berhad diramal berkembang menjadi pemaju tenaga boleh diperbaharui (RE) berskala besar susulan projek terbaharunya di Australia, menurut penganalisis.


CIMB Securities berkata,  prospek kumpulan berkenaan yang menceburi projek RE menerusi pembangunan bersama di Tasmania dengan para pemilik tanah tempatan dilihat sebagai langkah strategik perniagaan.


Katanya, ia positif terhadap usaha niaga itu yang mula dilihat aktif memanfaatkan aktiviti peralihan tenaga bersih di Australia sejak 18 bulan lalu, dengan dicapai melalui strategi serampang dua mata.


Ini meliputi pelaburan dalam projek ladang suria dan angin dengan membida kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai tinggi untuk projek hidro, pam transmisi dan solar terpilih.


“Gamuda bekerjasama dengan dua kontraktor terlibat awal (ECI) utama inisiatif RE menerusi projek tenaga hidro di New South Wales dan hab tenaga di Queensland," kata CIMB Securities dalam notanya.


Selain menyokong rangkaian kerja pembinaan mantap di Australia, pelaburan itu menandakan langkah pertama ke arah membina portfolio konsesi hijau melalui jualan elektrik masa depan dijana aset RE.


Usaha itu katanya, mengubah Gamuda daripada hanya melaksanakan peranan EPC kepada pemaju RE penuh, selaras Pelan Hijau Gamuda dengan potensi peningkatan kapasiti RE melebihi sasaran awal 500MW.


Tambah CIMB Securities, berbanding margin EPC untuk bidaan kompetitif antara 5 hingga 6 peratus, ia menganggarkan margin projek RE lebih tinggi daripada 8 hingga 10 peratus di bawah struktur ECI. 


Malahan kata firma berkenaan, margin EPC yang boleh ditangani oleh kumpulan tersebut mampu mencecah lebih tinggi 12 hingga 15 peratus dengan penyertaan ekuiti dalam pelbagai projek RE di Australia.


Sementara itu, MIDF Research juga positif terhadap perkembangan terkini Gamuda dalam segmen RE, dengan merujuk penambahan pekerjaan dan hasil berulang sejurus aset mencapai operasi komersial.


"Gamuda kekal digemari kami untuk sektor pembinaan dengan buku tempahan tinggi sepanjang masa iaitu RM37.2 bilion serta dijana portfolio kepelbagaian geografi untuk pembinaan dan hartanah," katanya.


Sementara itu, BIMB Securities berkata, kadar pulangan melalui projek RE terkini Gamuda dianggarkan masih dalam peringkat fasa awal dengan peningkatan daripada skala ekonomi dan peningkatan teknologi.


"Inisiatif ini sejajar dengan matlamat strategik Gamuda sendiri untuk membina pendapatan berulang dan memanfaatkan trend program penyahkarbonan Australia," tambah firma penyelidikan tersebut. 


Ia berkata, dengan memiliki aset, Gamuda bukan sahaja mengunci aliran hasil mampan tetapi kawalan penuh ke atas masa projek, pelaksanaan dan potensi perjanjian jangka panjang. - DagangNews.com