Prospek FM Global diyakini kukuh pada FY25 didorong penambahbaikan operasi logistik - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek FM Global diyakini kukuh pada FY25 didorong penambahbaikan operasi logistik - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Julai — Langkah penambahbaikan operasi logistik diyakini mengukuhkan prospek FM Global Logistic Holdings Berhad pada FY25, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, usaha serius kumpulan itu dijangka menangani isu hasil dan perolehan pada FY24 yang masing-masing merekodkan penyusutan 13.8% dan 26.4% tahun ke tahun (YoY).

 

Penurunan kedua-dua perkara itu tambahnya, bukan disebabkan kelemahan syarikat berkenaan, tetapi ekoran pelarasan semula kadar penghantaran barangan berikutan situasi luar biasa wabak Covid-19.

 

"Sebenarnya secara am FM Global masih lagi mampu mencatatkan peningkatan sebanyak 7.1% pendapatan kumpulan itu berbanding tahap prapandemik pada FY21," kata PublicInvest dalam satu nota kajiannya.

 

Tambah firma itu lagi, kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) pada FY24 merekodkan hasil dan perolehan teguh masing-masing sebanyak 10.1% dan 9.2% sejak ia disenaraikan di bursa pada 2004.

 

Begitu juga pulangan ekuiti (ROE) dan pulangan aset (ROA) kumpulan berkenaan pada tahun kewangan sama adalah kukuh masing-masing 7.2% dan 3.7% berbanding syarikat-syarikat saingannya yang lain.

 

Justeru, PublicInvest memuji FM Global apabila secara strategik menggunakan modal dan pelaburan bagi menambah baik keupayaan logistik serta mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia perkhidmatan.

 

"Ini termasuk memajukan kemudahan seperti gudang baharu seluas 18,580 meter persegi di Pelabuhan Klang, Selangor yang siap pada 2QFY25 dan bakal beroperasi pada 4QFY25," kata firma berkenaan.

 

Kumpulan pengangkutan antarabangsa itu juga tambahnya, menumpukan pada pengembangan global melalui pengambilalihan sambil mengurangkan jejak karbonnya menerusi aspek teknologi dan pendigitalan.

 

Berdasarkan momentum positif itu dengan dividen yang menarik dan lembaran kira-kira adalah sihat, PublicInvest mengekalkan saranan 'neutral' dan harga sasaran 56 sen sesaham. - DagangNews.com