Prospek Eco World dikhuatiri terjejas jika pertumbuhan jualan lebih rendah - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Eco World dikhuatiri terjejas jika pertumbuhan jualan lebih rendah - CGS International

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Julai — Prospek pertumbuhan Eco World Development Group Berhad dikhuatiri terjejas sekiranya mengalami situasi pertumbuhan jualan yang lebih rendah, menurut CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kebimbangan itu antara risiko yang diramalkan boleh berlaku kepada mana-mana pemaju selain kelewatan pelancaran projek pembangunan baharu dalam masa terdekat.

 

Tambahnya, kumpulan berkenaan perlu bersedia dengan dua kemungkinan buruk itu jika mahu meneruskan momentum perniagaannya yang kini dilihat fokus kepada Eco Grandeur dan Eco Business Park V (EBP V).

 

"Kami bagaimanapun sudah melawat dua projek hartanah terbaharu ini pada 8 Julai 2025 dan berasa positif dengan masa depan jangka panjang Eco World sendiri," kata CGSI dalam satu nota kajiannya.

 

Ia merujuk kejayaan kedua-dua projek itu yang telah menjanakan jualan terkumpul sebanyak RM4.4 bilion pada 31 Oktober 2024, dengan purata jualan tahunan RM550 juta sejak dilancaran pada 2016.

 

Kata firma berkenaan, sehingga Mei 2025, Eco Grandeur masih mempunyai sejumlah 319 hektar bank tanah yang belum dibangunkannya dengan baki nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM7.6 bilion.

 

CGSI menganggarkan kawasan tersebut akan membentuk gabungan 80 peratus kediaman dan 20 peratus komersial serta mampu mencatatkan jualan baharu lebih tinggi berdasarkan rekod projek sebelum ini.

 

"Kami juga menjangkakan pertumbuhan hasil EBP V meningkat pada suku tahun akan datang, disokong oleh pengebilan progresif untuk jualan tanah seluas 24 hektar kepada Google," kata firma itu.

 

Untuk meletakkan perspektif positif tersebut, ia meramalkan jualan tanah menyumbang sebanyak RM47 juta dan RM37 juta kepada keuntungan bersih kumpulan itu yang masing-masing pada FY26 dan FY27.

 

Walaupun baki simpanan tanah EBP V yang belum dibangunkan hanya 16 hektar dengan GDV RM200 juta kata CGSI, pusat data terbina untuk pajakan menyediakan aliran pendapatan secara lebih mampan.

 

Fasiliti berkenaan tambahnya, berpotensi menyumbang keuntungan selepas cukai tahunan dianggarkan antara RM80 juta sehingga RM180 juta setelah beroperasi sepenuhnya pada tahun kewangan 2027.

 

Berdasarkan perkembangan itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'tambah' kepada Eco World dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM2.58 sesaham. - DagangNews.com