KUALA LUMPUR 16 Julai — Pertambahan kontrak baharu berpotensi mengukuhkan lagi pertumbuhan Duopharma Biotech Berhad untuk tahun kewangan 2025 (FY25), menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan tersebut mengunjurkan kumpulan berkenaan mampu mencatatkan momentum pendapatan berterusan selepas merekodkan keuntungan bersih sebanyak 67 peratus pada suku pertama tahun ini.
Tambahnya, perkembangan itu bukan mustahil berlaku kerana kumpulan tersebut sebenarnya pernah merekodkan keuntungan yang lebih rendah pada FY23 sebelum bangkit semula dengan baik pada FY24.
"Kami kekal positif mengenai ramal trajektori pendapatan Duopharma pada FY25 selepas mengikuti taklimat keputusan 1QFY25 yang diadakan pada 5 Jun 2025," kata CGSI dalam satu nota kajiannya.
Pengeluar farmaseutikal itu melaporkan kedudukan kewangan lebih positif didorong sumbangan setahun penuh daripada kontrak senarai perolehan produk diluluskan Kementerian Kesihatan pada 24 April 2025.
Tender baharu berkenaan kata firma tersebut turut menyaksikan peningkatan tempahan kepada sejumlah 100 produk yang dijamin kementerian itu berbanding cuma sebanyak 50 produk dalam kontrak sebelumnya.
Selain itu CGSI menambah, Duopharma juga mampu mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi pada suku berkenaan berikutan kadar nilai ringgit mengukuh 13 peratus daripada dolar Amerika Syarikat (AS).
"Sehubungan itu, kami yakin untuk mengunjurkan kumpulan ini dapat mencatat lonjakan pendapatan selanjutnya yang teguh sebanyak 19.8 peratus sehingga tahun kewangan 2027," kata firma berkenaan.
Walaupun terdapat perubahan pengurusan yang akan datang, ia tidak menjangkakan perubahan besar pada rancangan pertumbuhan jangka panjangnya untuk pengeluaran produk dan pengembangan kapasiti operasi.
Berdasarkan perkembangan positif tersebut, CGSI mengulangi saranan 'tambah' ke atas Duopharma dengan meningkatkan harga sasaran kepada RM1.74 sesaham. - DagangNews.com








