KUALA LUMPUR 3 Feb - BIMB Securities positif terhadap prospek Datasonic Group Bhd, berikutan penganugerahan surat lanjutan (LoE) bernilai RM104.78 juta daripada Kementerian Dalam Negeri.
Firma penyelidikan itu berkata, anugerah LoE yang diterima oleh anak syarikat milik penuh kumpulan,Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) itu sejajar dengan jangkaannya.
“Oleh itu, ramalan pendapatan kami terhadap Datasonic kekal tidak berubah.
“Kami mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran (TP) 63 sen sesaham, berdasarkan nisbah pendapatan harga 17 kali ganda yang digunakan pada tahun kewangan 2025 pendapatan sesaham sebanyak 3.7 sen,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
LoE kelima itu melibatkan DTSB membekalkan cip pasport kepada Jabatan Imigresen Malaysia serta perkhidmatan penyelenggaraan lain berkuat kuasa pada 1 Disember 2024 sehingga 30 November 2025.
Di bawah kontrak itu, Datasonic akan menyediakan perkhidmatan infrastruktur kunci awam, sistem cip, e-gate dan kios prabaca.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, DTSB mesti memberi bon prestasi berjumlah RM3.66 juta kepada Kementerian Dalam Negeri.
Firma penyelidikan itu menyukai Datasonic kerana kepimpinan pasarannya kukuh sebagai penyedia terkemuka tempatan dalam rumusan pengenalan selamat serta buku pesanannya sekitar RM350 juta.
"Kumpulan itu juga mempunyai prospek pengembangan luar negara yang cerah dan inisiatif kepelbagaian yang berterusan merentasi segmen perniagaannya," kata BIMB Securities.
Sambungan kontrak ini menyusuli dua LoE daripada Kementerian Dalam Negeri berjumlah RM150.45 juta yang diumumkan pada awal bulan ini.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, LoE pertama melibatkan DTSB membekalkan dokumen pasport Malaysia kepada Jabatan Imigresen bagi tempoh 12 bulan bermula dari 1 Disember 2024 sehingga 30 November 2025 untuk nilai kontrak siling ketiga tambahan RM57. 15 juta.
Katanya, LoE kedua adalah untuk membekalkan halaman biodata polikarbonat kepada Jabatan Imigresen untuk tempoh 12 bulan bermula dari 1 Disember 2024 hingga 30 November 2025 untuk nilai kontrak siling ketiga tambahan sebanyak RM93.3 juta.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 dan tahun kewangan selepas itu untuk tempoh kontrak dan tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham kumpulan,” katanya. - DagangNews.com








