KUALA LUMPUR 30 Dis – Coastal Contracts Bhd (Coastal) mengekalkan prospek operasi yang kukuh apabila loji pemprosesan gasnya beroperasi pada kapasiti penuh, disokong oleh keterlihatan pendapatan jangka pendek hasil pemeteraian kontrak piagam liftboat, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan taklimat pengurusan, pihaknya mengekalkan unjuran pendapatan Coastal, dengan saranan BELI dikekalkan serta harga sasaran (TP) RM2.21 sesaham berdasarkan penilaian jumlah bahagian (sum-of-parts, SOP).
Menurut TA Research, loji pemprosesan gas sedia ada Coastal terus mencatat penggunaan maksimum. Loji Papan kini beroperasi pada kadar 345 mmscfd, manakala Loji Perdiz beroperasi pada 185 mmscfd, mencerminkan permintaan gas yang kekal kukuh.
"Kontrak Loji Perdiz yang berkuat kuasa sehingga Disember 2027 dijangka memerlukan lanjutan bagi menyokong peningkatan pengeluaran gas dari Lapangan Ixachi.
"Selain itu, Loji Papan kedua dijadual mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada November 2026, sekali gus menambah kapasiti pemanis gas sebanyak 150 mmscfd," katanya,
Dalam perkembangan berkaitan, TA Research berkata, pihak pengurusan memaklumkan perbincangan dengan Petroleos Mexicanos (Pemex) masih berlangsung berhubung potensi pengembangan kapasiti pemanis gas di Loji Perdiz, berikutan permintaan yang semakin meningkat.
Namun begitu, skop dan garis masa pengembangan masih tertakluk kepada rundingan lanjut dan penganugerahan kontrak.
Sementara itu, unit perkhidmatan pemampatan gas jack-up (JUGCSU) COASTAL yang digantung operasi sejak November 2023 kini sedang dipertimbangkan untuk pelupusan berpotensi.
Langkah ini menandakan perubahan fokus strategik kumpulan daripada opsyen penempatan semula kepada pendekatan yang lebih pragmatik dalam pengoptimuman aset.
Menurut TA Research, sebarang keputusan berkaitan JUGCSU masih tertakluk kepada penilaian komersial dan teknikal, namun pelupusan berpotensi boleh membantu mengurangkan beban aset tidak produktif dalam kumpulan.
Dari segi kontrak baharu, kata TA Research, Coastal telah memperoleh kontrak piagam liftboat selama 88 hari daripada Saudi Aramco bernilai kira-kira RM7.4 juta.
Kontrak tersebut merangkumi tempoh tetap 60 hari bernilai sekitar RM5.0 juta serta lanjutan opsyen 28 hari bernilai RM2.4 juta.
"Walaupun terdapat sedikit kelewatan permulaan perkhidmatan akibat proses pentadbiran, kapal dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat.
Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih COASTAL bagi FY25 hingga FY26, dengan risiko pelaksanaan terhad kepada faktor operasi biasa," katanya. - DagangNews.com








