Prospek Binastra kekal cerah, potensi projek baharu di Johor bernilai hingga RM2.2 bilion - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Binastra kekal cerah, potensi projek baharu di Johor bernilai hingga RM2.2 bilion - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Dis - Prospek Binastra Corporation Bhd dilihat positif dengan potensi perolehan projek baharu yang besar, khususnya di Johor, sekali gus mengukuhkan landasan pertumbuhan pendapatan kumpulan bagi beberapa tahun akan datang, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan BELI ke atas saham Binastra dengan harga sasaran RM2.69 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 28%, selain jangkaan hasil dividen kira-kira 3% bagi FY27F (Jan).

 

Menurut RHB Research, Binastra berpeluang untuk memenangi kerja-kerja pembinaan utama bagi pembangunan Causewayz Square oleh EXSIM Development yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sekitar RM3.5 bilion.

 

Sekiranya dianugerahkan, nilai kontrak pembinaan dianggarkan berjumlah RM1.3 hingga RM1.4 bilion, berdasarkan andaian kos pembinaan sekitar 40% daripada GDV.

 

"Peluang tersebut disokong oleh rekod prestasi Binastra dalam melaksanakan kerja cerucuk bernilai RM132 juta bagi pembangunan sama yang dianugerahkan pada Ogos lalu.

 

"Kejayaan pelaksanaan projek itu berpotensi meningkatkan kebarangkalian kumpulan untuk memperoleh pakej pembinaan utama," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN:Binastra catat untung bersih RM91.1 juta pada 9MFYE2026

 

Selain itu, satu lagi pemangkin pertumbuhan datang daripada pembangunan oleh MAXIM Global di Taman Pelangi, Johor Bahru, yang dianggarkan mempunyai kira-kira RM800 juta kerja pembinaan yang bakal dianugerahkan.

 

Secara keseluruhan, peluang projek daripada Johor Bahru sahaja dianggarkan berjumlah sekitar RM2.1 hingga RM2.2 bilion, yang berpotensi dianugerahkan menjelang akhir tahun kewangan FY26F.

 

RHB Research turut menjangkakan baki sasaran kemenangan projek Binastra bagi FY26, berjumlah kira-kira RM1.8 bilion, akan disumbangkan terutamanya oleh projek-projek di Johor, sejajar dengan pengembangan berterusan pelanggan utama kumpulan di negeri itu.

 

Prospek jangka sederhana hingga panjang Binastra juga kekal kukuh, disokong oleh pertumbuhan buku pesanan yang mantap dan kepelbagaian portfolio projek merangkumi pembangunan kediaman, pusat data serta infrastruktur sokongan.

 

Kumpulan itu dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pendapatan yang kukuh bagi tempoh FY25 hingga FY28, selari dengan momentum perolehan kontrak baharu.

 

Dengan penilaian saham yang masih berada pada diskaun berbanding purata kitaran pembinaan sebelum ini, RHB Research melihat ruang penilaian semula saham Binastra, terutamanya sekiranya kumpulan berjaya memperoleh lebih banyak kontrak pembinaan berskala besar dan projek infrastruktur hijau pada masa hadapan. - DagangNews.com