Projek RM1.27 bilion Rianlon pacu agenda pembuatan bernilai tinggi Johor - Onn Hafiz | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek RM1.27 bilion Rianlon pacu agenda pembuatan bernilai tinggi Johor - Onn Hafiz

KUALA LUMPUR 19 Jan - Keputusan Rianlon Corp untuk menubuhkan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan di Johor mencerminkan keyakinan pelabur yang kukuh dan berterusan terhadap negeri itu sebagai hab serantau bagi pelaburan bernilai tinggi dan berasaskan teknologi.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek bernilai RM1.27 bilion itu akan dibangunkan dalam dua fasa, merangkumi RM820 juta bagi Fasa Pertama dan RM450 juta bagi Fasa Kedua, serta dijangka mewujudkan kira-kira 300 peluang pekerjaan, khususnya untuk rakyat Johor, apabila beroperasi sepenuhnya.

 

Rianlon merupakan penyedia global bahan tambahan anti-penuaan dan teknologi untuk bahan polimer.

 

Menurut Onn Hafiz, pelaburan tersebut adalah hasil daripada libat urus langsung dengan kepimpinan Rianlon, termasuk Pengerusinya Lee Hai Ping, di Beijing pada 22 Disember tahun lalu.

 

“Dalam tempoh sebulan, kerajaan negeri Johor bersama rakan di peringkat Persekutuan telah menyelesaikan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Rianlon,” katanya dalam ucapan sempena majlis pecah tanah di Taman Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor Bahru hari ini.

 

Komitmen memudah cara pelaburan ini dipacu oleh Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFCJ), yang ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu bagi mengintegrasikan agensi negeri dan Persekutuan di bawah satu bumbung.

 

Beliau berkata kerja pembinaan Fasa Pertama bagi pembangunan Rianlon Malaysia Senai Bhd kini telah bermula.

 

Tambahnya, libat urus terkini dengan pelabur di China turut menekankan keperluan untuk memperkukuh penyelarasan melangkaui agensi kerajaan, khususnya dengan penyedia utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Ranhill SAJ, serta pemaju perindustrian.

 

“Bagi pelaburan strategik, termasuk yang berada dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, pendekatan perniagaan seperti biasa tidak lagi mencukupi. Johor bukan sahaja menawarkan laluan pantas, malah memperkenalkan ‘laluan super’ bagi mempercepatkan pelaksanaan projek,” katanya.

 

Onn Hafiz berkata Johor merekodkan RM91.1 bilion pelaburan diluluskan setakat suku ketiga 2025 (3Q 2025) dan berada di landasan untuk melepasi RM102 bilion pada 4Q 2025.

 

Momentum pertumbuhan Johor akan terus dipacu oleh kerjasama kukuh dengan pelabur dari China, Eropah, Amerika Syarikat serta rakan strategik utama, Singapura, selari dengan aspirasi negeri itu untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 di bawah agenda Johor Maju 2030.

 

Rianlon Corporation, sebuah perusahaan teknologi tinggi nasional, telah disenaraikan antara 500 Syarikat Petroleum dan Kimia Teratas China serta 100 Syarikat Kimia Halus Teratas China selama enam tahun berturut-turut- DagangNews.com